Kolumnis

10 sebab kenapa ‘Langkah Le Meridien’ berbeza dengan ‘Projek 16 September’

Sepuluh sebab kenapa 'Langkah Le Meridien 2020' berbeza dengan 'Projek 16 September 2008'

Dr Madhi Hasan: Sidang Media Khas Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Hotel Le Meridien Kuala Lumpur pada 23 September 2020, mencetuskan satu gegaran gempa terbaru dalam politik Malaysia. Beliau mendakwa telah memperolehi sokongan daripada majoriti Ahli-Ahli Parlimen bagi pembentukan sebuah kerajaan yang baharu.

Sekaligus ia akan menyebabkan tumbangnya kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin. Pihak lawan politik beliau termasuk Tun Dr Mahathir dengan cepat menimbulkan keraguan dengan mengingatkan rakyat kepada kegagalan Projek 16 September pada tahun 2008.

Projek 16 September ialah satu rancangan oleh Pakatan Rakyat yang diketuai Anwar untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi selepas tsunami politik pada PRU-12 tahun 2008.

Pada 14 April 2008, Anwar mengumumkan bahawa Pakatan Rakyat sedang mencukupkan bilangan untuk membentuk kerajaan melalui penyeberangan beramai-ramai Ahli-Ahli Parlimen BN ke Pakatan Rakyat.

Tarikh yang ditetapkan untuk peralihan kuasa itu berlaku ialah 16 September 2008. Walaubagaimanapun, pertukaran kerajaan yang ditunggu-tunggu oleh penyokong Pakatan Rakyat pada waktu itu, akhirnya tidak menjadi kenyataan. Kegagalan itu sedikit sebanyak menjejaskan kredibiliti Anwar sebagai pemimpin de facto Pakatan Rakyat.

Menyamakan kegagalan Projek 16 September 2008 dengan peristiwa hari ini adalah satu cara yang mudah untuk meredakan kegusaran di hati para pemimpin dan penyokong PN. Dengan menyoroti latar kepada kedua-duanya, terdapat 10 perbezaan yang menjadikan ‘Langkah Le Meridien’ berbeza dengan ‘Projek 16 September’ 12 tahun yang lalu. Perbezaan-perbezaan tersebut adalah seperti berikut:

1. Angka yang tidak terlalu sukar untuk dicapai

Pada tahun 2008, pembangkang mempunyai hanya 82 kerusi parlimen dan memerlukan sekurang-kurangnya 30 kerusi lagi untuk mencapai majoriti mudah iaitu 112 kerusi. Angka itu adalah terlalu besar berbanding jumlah yang diperlukan oleh Anwar pada kali ini. Umum mengetahui bahawa kelebihan majoriti yang dimiliki oleh Muhyiddin adalah dua atau tiga kerusi sahaja. Dalam erti kata lain, dari sudut permainan angka, sasaran kali ini adalah lebih attainable atau mampu dicapai.

2. Duluan (precedent) daripada kes Perak

Idea Projek 16 September dilontarkan sebelum berlakunya peristiwa ‘rampasan kuasa’ di Perak pada bulan Februari 2009. Pakatan Rakyat menghadapi masalah untuk melaksanakan Projek 16 September kerana kaedah untuk menjatuhkan seseorang Perdana Menteri ialah dengan menjalankan undi tidak percaya di Parlimen.Rancangan itu sukar dilaksanakan kerana ia akan digagalkan oleh Yang DiPertua Dewan Rakyat.

Pada masa sekarang, pertukaran kerajaan boleh berlaku tanpa perlu membawa usul undi tidak percaya di parlimen. Seorang Raja atau Ketua Negeri berhak untuk memutuskan sama ada Perdana Menteri atau Menteri Besar masih memiliki sokongan majoriti melalui cara-cara lain. Perkara ini diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan pada tahun 2010 dalam ‘kes MB Perak lawan MB Perak’ iaitu Mohammad Nizar Jamaluddin lawan Zambry Abdul Kadir.

Kaedah ini seterusnya dipraktikkan dalam pertukaran kerajaan-kerajaan negeri di Melaka dan Kedah pada tahun 2020. Oleh itu, halangan prosedural yang dihadapi oleh Pakatan Rakyat pada tahun 2008 kini sudah tiada.

3. Persoalan mandat rakyat

Pada tahun 2008, parti yang memenangi PRU-12 ialah BN. Pakatan Rakyat pada ketika itu bergelut dengan persoalan moral dalam merampas kuasa pemerintahan daripada sebuah kerajaan yang telah memperolehi mandat rakyat secara sah. Pada tahun 2020, Pakatan Harapan mempunyai legitimasi dari segi moral untuk mengambil kembali kuasa daripada PN. Ini kerana legitimasi kerajaan PN dipertikaikan dari aspek moral. PN adalah sebuah kerajaan yang terhasil melalui pengkhianatan terhadap mandat rakyat yang dimenangi oleh Pakatan Harapan dalam PRU-14.

4. Kemantapan koalisi Pakatan Harapan

Pakatan Rakyat ditubuhkan pada 1 April 2008 oleh KeADILan, DAP dan PAS selepas kemenangan mengejut pembangkang di beberapa buah negeri dalam PRU-12. Dari segi umur, koalisi itu masih belum cukup matang dan meyakinkan apatah lagi PAS dan DAP mempunyai ideologi yang amat bertentangan. Koalisi Pakatan Harapan pada hari ini sebenarnya adalah merupakan kesinambungan kepada Pakatan Rakyat.

Ia juga telah teruji dengan pengalaman mentadbir kerajaan pusat dan beberapa buah kerajaan negeri. Oleh itu, Pakatan Harapan sebagai sebuah koalisi perdana (grand coalition) adalah jauh lebih kukuh dan meyakinkan berbanding Pakatan Rakyat pada tahun pertama kewujudannya. Kekukuhan Pakatan Harapan dapat memberi keyakinan kepada Ahli-Ahli Parlimen dari parti-parti lain untuk mengalihkan sokongan mereka.

5. Kecelaruan koalisi Perikatan Nasional

Pada tahun 2008, hanya ada satu koalisi perdana (grand coalition) yang memerintah Malaysia iaitu BN yang dianggotai oleh 14 buah parti. Abdullah Ahmad Badawi selaku Pengerusi BN mempunyai kawalan yang kuat kepada parti-parti dalam BN. Hari ini, PN adalah sebuah koalisi yang cacamerba.

Umno yang mempunyai jumlah kerusi terbesar di pihak kerajaan mengisytiharkan yang ia bukan sebahagian daripada koalisi PN. Pilihan Raya Negeri Sabah yang sedang berlangsung mengesahkan kecelaruan ini apabila Muhyiddin gagal menghalang parti-parti yang menyokongnya daripada bertembung sesama sendiri.

6. Pertukaran kerajaan sebagai satu norma baharu

Selama puluhan tahun, majoriti rakyat beranggapan yang BN akan berkuasa seolah-olah selama-lamanya. Oleh itu, usaha Anwar untuk memecahkan halangan psikologi tersebut pada tahun 2008 adalah suatu kerja yang mencabar.

Pada hari ini, rakyat telah menyaksikan kerajaan pusat bertukar buat pertama kalinya pada bulan Mei 2018. Kemudian pertukaran kerajaan pusat berlaku lagi pada bulan Februari 2020. Kedua-dua peristiwa telah berlaku dengan aman tanpa sebarang kekacauan. Dengan yang demikian, pertukaran kerajaan bukanlah satu perkara yang luar biasa dan membimbangkan sepertimana yang dirasai oleh rakyat pada tahun 2008.

7. Keseimbangan kaum

Pada tahun 2008, dikhabarkan bahawa sebahagian besar Ahli-Ahli Parlimen yang akan menyeberang pada ketika itu ialah wakil rakyat bukan Melayu dari Sabah dan Sarawak. Ia menimbulkan satu dilema kerana ini akan menambah ketidakseimbangan kaum dalam Pakatan Rakyat. Representasi kaum bukan Melayu di dalam kerajaan yang bakal terbentuk akan meningkat dengan ketara. Senario tersebut akan menyukarkan urusan Pakatan Rakyat dengan institusi-institusi yang dianggap pelindung kaum Melayu terutamanya pihak Istana.

Pada kali ini, Anwar kelihatan telah mencari penyelesaian kepada masalah itu dengan memfokuskan untuk menarik sokongan Ahli-Ahli Parlimen Melayu Islam. Kenyataan Zahid Hamidi yang menyatakan “ramai Ahli-Ahli Parlimen Umno akan menyokong Anwar mengesahkan bahawa Anwar hampir berjaya untuk menyelesaikan masalah yang dihadapinya 12 tahun lalu.

8. Kebimbangan PAS

Projek 16 September menghadapi kebuntuan kerana salah satu rakan kongsi utama dalam Pakatan Rakyat iaitu PAS berada dalam keadaan berbelah bahagi. Berdasarkan senario yang disebut di atas, pimpinan PAS terutamanya kumpulan ulama merasa bimbang yang kerajaan baharu yang bakal terbentuk akan didominasi oleh kaum bukan Melayu.

Di dalam Pakatan Harapan pada kali ini, AMANAH dan DAP selaku rakan komponen kelihatan lebih ghairah daripada Anwar sendiri untuk mengambil semula kuasa. Oleh itu, Anwar tidak lagi perlu menghadapi kerenah rakan komponen yang melambatkan perancangannya seperti pada tahun 2008.

9. Tindakan balas pihak lawan

Pada tahun 2008, Anwar mengumumkan Projek 16 September pada bulan April dan memperuntukkan masa lima bulan untuk menjayakannya. Jangkamasa yang panjang itu diperlukan kerana Anwar sendiri belum menjadi Ahli Parlimen sewaktu beliau mengumumkan perkara itu. Halangan perundangan untuk beliau bertanding akibat sabitan kesnya yang pertama hanya berakhir pada Ogos 2008. Dalam tempoh lima bulan itu, pihak lawan melakukan pelbagai asakan terhadap Anwar terutamanya melalui pendakwaan baharu dalam kes Liwat II (kes Saiful Bukhari).

Kemuncak kepada tindakan balas BN ialah apabila ia membawa lari Ahli-Ahli parlimennya ke Taiwan beberapa hari sebelum tarikh 16 September atas alasan lawatan sambil belajar.

Pada tahun 2020, Anwar menukar taktiknya dengan melakukan ambush (serangan hendap) pada 23 September. Ini disahkan dengan pengakuan Lim Guan Eng dan Lim Kit Siang yang mereka sendiri tidak dimaklumkan mengenainya sehingga ke saat-saat akhir. Taktik itu menyebabkan pihak musuh kurang bersedia berbanding pada tahun 2008.

10. Keperluan untuk mendapatkan sebuah kerajaan yang stabil

Kerajaan BN pada tahun 2008 adalah jauh lebih stabil berbanding kerajaan PN pada hari ini. Abdullah Ahmad Badawi tidak menghadapi masalah untuk meluluskan apa-apa perkara di parlimen kerana majoriti yang dimiliki oleh BN adalah besar.

Kerajaan PN pimpinan Muhyiddin pada hari ini adalah yang kerajaan yang paling tidak stabil dalam sejarah Malaysia. Pihak kerajaan berada dalam kebimbangan setiap kali persidangan parlimen perlu meluluskan sesuatu kerana majoriti yang dimilikinya terlalu tipis. Oleh itu, pada kali ini Anwar tampil dengan tawaran kepada Raja dan rakyat untuk membentuk sebuah kerajaan yang lebih stabil dengan majoriti yang jelas, kukuh dan meyakinkan.

Dr Madhi Hasan
Felo di Institut Kajian Pilihan Raya dan Pemajuan Demokrasi (IESAD), Universiti Selangor

Tulisan ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya menyatakan pendirian rasmi Negeri Kita.

 

Show More

Related Articles

Back to top button