Berita

15 pengusaha bas sekolah terima bantuan makanan dari Nicole

BUKIT KEPAYANG: ADUN Bukit Kepayang, YB Nicole Tan Lee Koon telah menyantuni dan menyampaikan sumbangan barangan makanan asas kepada 15 pengusaha bas dan van sekolah di Pusat Khidmat Rakyat DUN Bukit Kepayang.

Nicole berkata, sejak pengumuman sekolah ditutup disebabkan penularan wabak Covid-19, pengusaha bas dan van sekolah kehilangan punca pendapatan.

“Akibat daripada penutupan sekolah, ramai yang terpaksa tukar bidang kerja, demi menyara kehidupan keluarga. Ada yang terpaksa menjadi penjaja tepi jalan, ada pula yang menjadi pemandu e-hailing dan sebagainya.

“Bas dan van sekolah pula perlu dibaiki dan diselenggara kerana enjinnya sudah lama tidak dihidupkan (tiada pergerakan).

“Menghadapi pelbagai cabaran, kumpulan pengusaha bas dan van sekolah ini perlu bantuan dari pelbagai aspek,” ujarnya.

Nicole berharap, sumbangan bantuan makanan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban pengusaha bas dan van sekolah.

“Pengumuman pembukaan semula sesi persekolahan Isnin ini sememangnya merupakan suatu berita baik kepada mereka.

“Pemandu bas dan van sekolah dinasihatkan amalkan langkah pencegahan Covid-19 dalam memastikan keselamatan pelajar,” katanya.

Nicole yang juga Exco Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan Negeri Sembilan, turut mengucapkan ‘Selamat Maju Jaya’ kepada semua calon SPM yang sedang menduduki peperiksaan tersebut.

Show More

Related Articles

Back to top button