Aktiviti

159 peserta Felcra Rompin A terima hak milik tanah dari Aminuddin

JEMPOL: Seramai 159 penduduk Felcra Rompin A menerima hak milik tanah dari Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun hari ini.

Aminuddin berkata, Kerajaan Negeri maklum pelbagai onak duri telah dihadapi sejak tahun 1980 yang menjadi titik tolak kepada kewujudan Felcra Rompin A sehinggalah ke hari ini.

“Para peserta Felcra Rompin A telah mengorbankan masa dan tenaga mengusahakan tanaman getah sejak sekian lama dan hari ini boleh mengeluarkan hasil getah.

“Alhamdulillah impian tuan puan untuk memiliki hak milik tanah sudah tercapai.

“Namun perlu diingat, tanggungjawab seterusnya adalah untuk memastikan tanah ini kekal menjadi aset kepada keluarga dengan membayar cukai tanah sebelum 31 Mei setiap tahun,” katanya.

Faedah pembangunan prasarana

Menurut Aminuddin, kegagalan membayar cukai tanah boleh membawa kepada tindakan penguatkuasaan yang menyebabkan peserta dilucutkan pemilikkan oleh Pejabat Tanah Daerah.

“Hal ini telah berlaku kepada tanah desa, Felda dan tanah pekan mahupun bandar di seluruh Semenanjung Malaysia.

“Semoga ia sentiasa menjadi iktibar dan ingatan buat kita semua untuk melaksanakan tanggungjawab tersebut.

“Pembayaran cukai tanah itu faedahnya akan kembali kepada tuan dan puan semula dalam bentuk pembangunan prasarana fizikal dan lain-lain inisiatif meningkatkan taraf hidup rakyat,” ujar Aminuddin.

Jom Bayar Cukai Tanah 

Aminuddin berkata, Kerajaan Negeri pada tahun 2021 telah mengadakan pelbagai inisiatif untuk para pembayar cukai tanah antaranya melalui Kempen Jom Bayar Cukai Tanah tahun 2021.

Inisiatif ini bertujuan mengingatkan para pemilik tanah akan tanggungjawab yang datang bersekali dengan pemilikan tanah.

“Tempoh membayar cukai tanah amat panjang sebenarnya, iaitu bermula 1 Januari hinggalah 31 Mei setiap tahun.

“Selepas tarikh tersebut, cukai masih boleh dibayar sehingga bulan Disember, cuma denda akan dikenakan.

“Selari dengan perkembangan teknologi maklumat, cukai tanah boleh dibayar secara atas talian melalui laman sesawang rasmi Pejabat Tanah dan Galian Negeri Sembilan,” jelas Aminuddin lagi.

Majlis Penyampaian Hak Milik Felcra Rompin A berlangsung di Dewan Sri Rompin, Kompleks Pentadbiran Daerah Jempol pada pagi tadi.

Turut hadir, Exco Kesejahteraan Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru, YB Teo Kok Seong; Pegawai Kewangan Negeri, YB Dato’ Mohd Khidir Majid dan Pengarah Tanah dan Galian Negeri Sembilan, YBhg Dato’ Ishak Md.Napis.

 

Show More

Related Articles

Back to top button