Berita

Mangsa kebakaran Kuala Pilah disantuni YB Nazaruddin dan YB Teo

Mangsa ditempatkan di sebuah hotel untuk sementara waktu

KUALA PILAH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pilah, YB Mohamad Nazaruddin Sabtu bersama Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru, YB Teo Kok Seong dan Pegawai Daerah Kuala Pilah, Tuan Mohd Faizal Abdul Manap telah melawat rumah kedai yang terbakar di bandar Kuala Pilah.

Nazaruddin berkata beliau telah menempatkan mangsa kebakaran di sebuah hotel di Kuala Pilah untuk sementara waktu.

Sebahagian daripada deretan kedai yang terbakar di bandar Kuala Pilah. Foto: Mubashir

“Ini disebabkan kebanyakkan mangsa tidak mempunyai tempat tinggal lain, dan kebanyakkannya hanya tinggal sehelai sepinggang.

“Saya juga ingin menasihatkan semua peniaga di sekitar bandar Kuala Pilah agar menyediakan alat pemadam api.

“Seandainya berlaku lagi kejadian kebakaran pada masa akan datang, sekurang-kurangnya api dapat dikawal dengan lebih cepat tanpa merebak ke kedai sebelah.

“Langkah berjaga-jaga serta semangat kejiranan harus dipupuk agar kejadian seperti ini dapat dielakkan dengan lebih cepat, dan yang paling penting dapat mengelakkan kemalangan jiwa,” kata Nazaruddin yang juga merupakan Exco Kesenian, Kebudayaan dan Adat Istiadat Melayu.

Anggota bomba sedang menjalankan siasatan di lokasi kejadian kebakaran untuk mengetahui punca kebakaran. Foto: Mubashir.

Kejadian kebakaran ini melibatkan enam buah kedai dan mengikut laporan pegawai bomba, Encik Mohd Hafiz Mohd Sharif, api bermula dari kedai alat ganti kereta dan merebak ke kedai bersebelahan. Ini disebabkan separuh struktur bangunan masih menggunakan papan dan kayu.

Kejadian itu juga melibatkan seorang mangsa warga emas yang berumur 80an. Tindakan pantas ahli bomba berjaya menyelamatkan mangsa yang kini menerima rawatan di Hospital Kuala Pilah. Menurut pihak bomba, tiada kemalangan jiwa berlaku.

YB Nazaruddin (kiri) dan YB Teo (kedua kiri) sedang menyantuni salah seorang mangsa kebakaran di bandar Kuala Pilah. Foto: Mubashir.

Kerja-kerja pemadaman api melibatkan Balai Bomba Kuala Pilah, Bahau, Seri Menanti dan Seremban 2 melibatkan empat jentera bomba dan Aerial Ladder Platform digunakan dalam operasi ini, kerana kebakaran melibatkan tingkat atas bangunan kedai.

Pasukan forensik bomba masih menyiasat punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Yb Teo (kedua kiri) dan YB Nazaruddin (ketiga kiri) sedang diberi taklimat oleh pegawai bomba berhubung kejadian kebakaran tersebut. Foto: Mubashir.
Show More

Related Articles

Back to top button