Berita

1,818 pelajar miskin terima Bantuan Anak Sekolah (B.A.S)

Memastikan tiada pelajar yang tercicir ke sekolah atas alasan ibubapa tidak mampu bayar tambang bas sekolah

SEREMBAN: Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan sentiasa mencari kaedah untuk membantu dan meringankan beban kewangan golongan miskin.

Bantuan bukan sekadar dalam soal kebajikan seperti kelazimannya tetapi juga dalam sektor pendidikan anak-anak golongan miskin.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, untuk tahun ini Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk meneruskan Bantuan Anak Sekolah (B.A.S); iaitu bantuan tunai tambang persekolahan murid sekolah rendah dari keluarga miskin sebanyak RM50 sebulan dan inisiatif ini diperluaskan kepada pelajar Tingkatan 1.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan penerima bagi tahun 2020 adalah seramai 1,818 orang pelajar miskin dari Darjah 1 hingga Tingkatan 1 dengan peruntukan berjumlah RM1 juta.

“Berdasarkan rekod pembayaran bagi tahun 2019, seramai 1,230 orang murid sekolah rendah telah menerima manfaat daripada inisiatif ini dengan perbelanjaan sebanyak RM676,500.

“Pada tahun ini perluasan pemberian diberikan kepada pelajar Tingkatan 1, menjadikan bilangan pelajar yang menerima manfaat bertambah seramai 588 orang (RM323,500), meningkat sebanyak 47.8% berbanding tahun 2019,” jelas Aminuddin.

Aminuddin berkata demikian selepas majlis simbolik penyerahan bantuan ini kepada Exco Kerajaan Negeri di Wisma Negeri, yang akan diagihkan kepada penerima di DUN masing-masing.

Aminuddin berharap bantuan ini akan dapat meringankan beban kewangan keluarga yang tergolong di bawah Paras Garis Kemiskinan (PGK) yang akan menampung perbelanjaan anak-anak mereka ke sekolah.

“Bantuan ini akan dibayar kepada penerima melalui Pusat Khidmat DUN dan Penyelaras DUN di kawasan masing-masing.

“Parlimen yang mempunyai jumlah penerima yang paling ramai adalah Rembau dengan jumlah 364 penerima, Kuala Pilah seramai 300 orang dan Jelebu seramai 251 penerima.

“Hasrat Kerajaan Negeri memperkenalkan inisiatif ini adalah untuk memastikan tiada pelajar yang tercicir ke sekolah atas alasan ibubapa tidak mampu membayar tambang bas atau van sekolah,” kata Aminuddin.

Show More

Related Articles

Back to top button