Berita

27 peserta Desa Rimbunan Kaseh terima kunci rumah dari Aminuddin

REMBAU: Seramai 27 peserta Desa Rimbunan Kaseh di Batu Hampar melibatkan 130 isi rumah; menerima kunci rumah daripada Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun pada Sabtu.

Aminuddin berkata, projek Desa Rimbunan Kaseh ini gagal dilaksanakan dari segi konsep dan objektifnya oleh Kerajaan Barisan Nasional terdahulu.

Pada peringkat awal, pelaksanaan projek Desa Rimbunan Kaseh ini melibatkan tiga pihak iaitu Kerajaan Persekutuan, IRIS Corporation Berhad (IRIS) dan Kerajaan Negeri. Pada mulanya IRIS telah memberikan komitmen untuk melaksanakan aktiviti pertanian yang melibatkan penanaman golden melon dan penternakan ikan jade perch.

“Namun, keadaan sebaliknya berlaku apabila program ini berdepan dengan pelbagai isu seperti operasi ladang, kewangan dan perjanjian pengurusan.

“Semasa pelaksanaan operasi ladang, teknologi, sistem dan teknik yang dilaksanakan oleh IRIS tidak berkesan sehingga menyebabkan produktiviti operasi ladang berada di tahap yang rendah dan kos operasi yang tinggi. Hanya penanaman rock melon sahaja yang dilaksanakan dan penanaman tersebut tidak optimum.

“Prestasi penanaman sehingga tempoh berakhir 28 Februari 2019 adalah sangat rendah iaitu 35.82 peratus sahaja. Manakala penternakan ikan jade perch tidak dijalankan dan sebanyak 400 tangki terbiar di dalam kawasan ladang,” jelas Aminuddin.

Model perniagaan rugi

Menurut Aminuddin, daripada 28 unit rumah hijau untuk penanaman rock melon, hanya 17 unit digunakan manakala baki yang lain rosak dan tidak dibaiki oleh IRIS.

“Selain itu, keperluan peserta bagi operasi ladang pula didapati melebihi 127 peratus daripada standard industri. Berdasarkan standard, pelaksanaan operasi ladang hanya memerlukan seramai 10 orang pekerja sahaja berbanding 56 orang yang telah dilantik.

“Selain daripada faktor-faktor tersebut, model perniagaan yang dilaksanakan oleh IRIS tidak realistik sehingga menyebabkan kerugian dan menjejaskan komitmen bayaran IRIS kepada Kerajaan Negeri. Peruntukan pembangunan bagi projek ini sepenuhnya dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri,” ujar beliau lagi.

Jelas Aminuddin, berdasarkan kiraan awal, sebanyak 30 peratus daripada pendapatan ladang disumbangkan daripada penanaman rock melon. Namun, penanaman rock melon dan hasil jualan mencatatkan 100 peratus kerugian.

“IRIS tidak pernah membayar wang sumbangan berjumlah RM1.05 juta yang sepatutnya dijelaskan pada 10 Mei 2018 berjumlah RM500,000 dan RM550,000 pada tahun 2019. Kegagalan ini ditambah lagi dengan isu Perjanjian Pengurusan program.

“Terdapat tiga jenis perjanjian yang melibatkan Program Rimbunan Kaseh iaitu Perjanjian Pelaksanaan (pembangunan projek), Perjanjian Sewa Beli (sewa beli rumah antara penyewa dan Kerajaan Negeri) dan Perjanjian Pengurusan (pengoperasian ladang, pelantikan pekerja, latihan dan bayaran wang sumbangan),” katanya.

Kerajaan Negeri susun semula hala tuju ladang bersepadu

Aminuddin berkata, Perjanjian Pelaksanaan telah ditandatangani oleh IRIS dan Kerajaan Negeri manakala Perjanjian Sewa Beli telah ditandatangani oleh Penyewa dan Kerajaan Negeri.

“Namun, Perjanjian Pengurusan tidak ditandatangani oleh IRIS selepas disemak dan dipinda oleh Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri. IRIS juga tidak menandatangani Perjanjian Pelaksanaan bagi Projek Rimbunan Kaseh di tiga negeri yang lain iaitu Perak, Terengganu dan Kedah.

“Justeru, Kerajaan Negeri telah menyusun kembali hala tuju bagi komponen ladang bersepadu yang sedia ada dalam Desa Rimbunan Kaseh. Langkah penyelesaian yang proaktif telah diambil untuk menyelesaikan pertikaian penamatan perjanjian dengan IRIS, pembayaran wang sumbangan, pembayaran potongan sewa rumah peserta, penyerahan aset-aset Desa Rimbunan Kaseh, tuntutan ganti rugi penamatan.

“Selepas penamatan IRIS, Akademi Peranserta Rakyat (AKAR) telah menunjukkan minat bagi membantu pembangunan Projek Rimbunan Kaseh dengan mengemukakan pelan pembangunan semula Desa Rimbunan Kaseh yang komprehensif dan merangkumi pelbagai jenis tanaman, penternakan dan pekerjaan.

Semua cadangan yang dikemukakan syarikat tidak melibatkan implikasi kewangan kepada Kerajaan Negeri,” ulas Aminuddin.

Desa Rimbunan Kaseh konsep sewa dan beli

Aminuddin menambah, Kerajaan Negeri juga telah bersetuju untuk membuat pengisian penuh bagi baki unit rumah serta bayaran sewa beli rumah bagi penduduk sedia ada dan penyewa baru secara terus kepada Bahagian Perumahan.

Projek Perumahan Desa Rimbunan Kaseh ini adalah berkonsepkan sewa beli iaitu peserta yang terpilih perlu melaksanakan pembayaran bulanan kepada Kerajaan Negeri melalui Bahagian Perumahan.

Projek perumahan ini terdiri daripada 100 unit rumah dengan setiap unit rumah mengandungi tiga bilik tidur dan dua bilik air dengan kawasan persekitaran dilengkapi dengan rumah tradisional Minangkabau, surau, dewan serbaguna, pusat pembelajaran, gelanggang sukan, kedai dan komponen ladang bersepadu.

“Saya berharap penduduk Desa Rimbunan Kaseh hidup dengan harmoni dan mengimarahkan kawasan ini dengan budaya bergotong-royong, aktiviti agama dan program belia.

Turut hadir, Exco Kesejahteraan Perumahan, Kerajaan Tempatan Dan Kampung Baru, YB Teo Kok Seong dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Dr.Razali Abdul Malik.

 

Foto: Nabil Syafiq

 

Show More

Related Articles

Back to top button