Berita

Aminuddin: Sempurnakan korban yang terbaik

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar WalilLahil hamd

Segala puji dan syukur bagi Allah, Pemerintah dan Pentadbir seluruh alam, yang telah mendidik dan memimpin kita semua dengan penuh Kasih Sayang. Selawat dan salam atas junjungan yang paling disayangi Nabi Muhammad SAW.

Alhamdulillah, kita masih diberi kesempatan untuk terus berkhidmat dan berbakti sebagai hamba Allah dan khalifah-Nya di sini. Tugas dan tanggungjawab dalam kehidupan merupakan amanah daripada-Nya. Semakin besar tugas dan tanggungjawab semakin tinggi keperluan kita kepada pimpinan, bimbingan dan tunjuk ajar Allah.

Kita juga sedar, bahawa kita merupakan petugas Allah yang lemah dan jahil. Tanpa kekuatan, pimpinan, bimbingan dan tunjuk ajar-Nya kita tidak mampu menjaga, mengurus dan membangunkan semua amanah yang diberikan dengan baik dan betul.

Kerana itu, kita perlu sentiasa menjaga hubungan dengan Allah. Beriman dan bertaqwa kepada-Nya. Mengabaikan atau melupakan hubungan dengan Allah, bermakna memutuskan diri daripada sumber kehidupan, sumber kekuatan, sumber ilmu, sumber hikmah, sumber kemuliaan, sumber keberkatan, sumber rahmah dan sumber penyelesaian bagi setiap persoalan dalam hidup ini.

Ulama kita telah menjelaskan, bahawa ibadah haji dan korban merupakan salah satu proses pembersihan jiwa (tazkiyyah nafsiah), penyaksian dan pembuktian kepada kebergantungan jiwa kita kepada Allah. Sebagaimana puasa membebaskan jiwa daripada terikat dengan nafsu, zakat membebaskan jiwa daripada terikat dengan harta, begitu juga dengan ibadah haji merupakan suatu proses membebaskan jiwa daripada terikat dengan sifat ego dan sesuatu yang kita sayang. Sebaliknya jiwa raga seharusnya terikat dengan Pemilik Yang Hakiki iaitu Allah yang merupakan sumber kehidupan dan kebebasan.

Sambutan hari raya haji tahun ini tidak sama dengan tahun-tahun sebelum. Tahun ini tidak ada saudara mara atau orang kampung kita yang pergi haji, bahkan tidak ada rakyat Malaysia yang dibenarkan menunaikan haji tahun ini.

Di samping itu, kita masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), namun kita di Negeri Sembilan telah membuat beberapa ketetapan mengenai sambutan Hari Raya Haji atau Aidiladha tahun ini. Kita telah membenar aktiviti korban dijalankan dengan mengikuti SOP yang telah disediakan. Dalam sambutan Aidilfitri baru-baru ini kita semua mengerjakan Solat Sunat Aidilfitri di rumah masing-masing, tetapi kali ini kita dibenarkan menunaikan Solat Sunat Aidiladha di masjid dan surau dengan mengikuti dan mematuhi peraturan dan SOP yang ditetapkan.

Kita berharap dan berdoa semoga ibadah korban yang saudara sempurnakan, diterima dan diredhai oleh Allah, sebagaimana Allah menerima korban yang disempurnakan oleh anak Nabi Adam a.s iaitu Habil dan korban dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s. Di mana korban mereka, telah yang meningkatkan iman dan taqwa. Kerana itu ikhlaskan diri dan sempurnakan ibadah korban tahun ini dengan korban yang terbaik.

Semakin ramai rakyat negeri ini yang beriman dan bertaqwa semakin berkah masyarakat dan negeri ini. Sebagaimana firman-Nya ayat 96 dalam surah Al-A’raf yang bermaksud: “ Dan jika penduduk negeri beriman dan bertaqwa, pasti Kami akan melimpahkan kepada mereka keberkatan daripada langit dan bumi”.

Di antara tanda-tanda masyarakat yang beriman dan bertaqwa ialah menghargai dan menyayangi kurnia Allah. Allah telah mengurniakan kita negeri dan masyarakat majmuk yang berbilang bangsa dan agama. Hargai dan sayangilah negeri dengan kepelbagaiannya dalam bingkai kesatuan. Ayuh, kita sama-sama berganding bahu membangunkan dan memajukan negeri ini. Jago Nogori Kito.

Bagi pihak keluarga dan barisan pimpinan Kerajaan Negeri Sembilan saya ucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidiladha 1441H kepada seluruh umat Islam.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Walillahilhamd.

YAB Dato’ Seri Haji Aminuddin Harun

Menteri Besar Negeri Sembilan

Show More

Related Articles

Back to top button