Berita

29,936 pelajar di Negeri Sembilan terima vaksin Covid-19

SEREMBAN: Seramai 29,936 pelajar sekolah Tingkatan 4 dan Tingkatan 5 di Negeri Sembilan mula menerima suntikan vaksin Covid-19 pada 21 September secara berperingkat.

Menteri Besar, Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, pelajar tersebut dari 125 sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Negeri Sembilan.

“Bagi pelajar tingkatan 4 dan tingkatan 5 yang bersekolah di institusi selain di bawah KPM, suntikan mereka akan dijadualkan melalui kerjasama sekolah/institusi dengan Pejabat Kesihatan Daerah.

“Suntikan kepada pelajar berumur 12 hingga 15 tahun pula akan dilakukan di sekolah-sekolah secara berjadual.

“Bagi pelajar Tingkatan 6 termasuk yang berusia 18 tahun, mereka boleh walk-in ke mana-mana Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Awam yang beroperasi untuk pemberian vaksin secara walk-in termasuk PPV Awam untuk vaksinasi pelajar tingkatan 4 dan 5,” jelas Aminuddin pada sidang media Pasca Mesyuarat Exco di Wisma Negeri, pada Rabu.

Beliau berkata, dengan ini juga program pemberian vaksin secara walk-in kepada warganegara Malaysia yang tinggal di Negeri Sembilan diteruskan sehingga 30 September 2021.

“Untuk makluman, semenjak PPV Awam dibuka untuk orang awam pada Isnin, jumlah yang hadir walk-in untuk vaksinasi dalam tempoh dua hari lalu (Isnin dan Selasa) ialah seramai 2,335 orang,” ujar Aminuddin.

PPV Awam yang terlibat seperti berikut:

1. Dewan Majlis Bandaraya Seremban, Seremban.

2. Dewan Orang Ramai Sikamat, Seremban.

3. Dewan Kompleks Belia dan Sukan Teluk Kemang, Port Dickson.

4. Dewan D’Sury, Jelebu.

5. Dewan Dato’ Bahaman, Kuala Pilah.

 

Foto: Nabil Syafiq

Show More

Related Articles

Back to top button