Berita

300 keluarga Islam terima sumbangan daging lembu dari Nicole

BUKIT KEPAYANG: ADUN Bukit Kepayang, YB Nicole Tan Lee Koon menyantuni masyarakat Islam DUN Bukit Kepayang dengan menyumbangkan 300 kilogram daging lembu segar sempena sambutan Hari Raya Aidiladha baru-baru ini.

Sumbangan daging lembu tersebut diagihkan kepada 300 keluarga golongan B40 dan mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19 menerusi pemimpin masyarakat setempat.

“Kita memahami denyut nadi rakyat terutama sekali golongan B40 yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Daerah Seremban termasuk DUN Bukit Kepayang.

“Sumbangan daging lembu ini juga signifikan kerana Negeri Sembilan tidak melaksanakan ibadah korban pada tahun ini.

Semoga sumbangan ini menceriakan para penerima dengan mengambil semangat pengorbanan sempena sambutan Aidiladha,’ kata Nicole.

Nicole berkata, sebanyak 300 kilogram daging lembu diagihkan kepada tiga ratus keluarga dengan agihan satu kilogram daging setiap keluarga.

Bekalan daging lembu segar tersebut disediakan oleh pembekal tempatan dan ini juga sebagai salah satu inisiatif merancakkan ekonomi usahawan mikro tempatan.

Hadir menerima sumbangan daging lembu segar tersebut adalah seramai dua puluh tujuh orang ketua masyarakat yang terdiri daripada pengerusi atau wakil daripada Kawasan Rukun Tetangga (KRT), persatuan penduduk, Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan wakil surau-surau di DUN Bukit Kepayang.

Pemimpin masyarakat hargai sumbangan daging lembu

Program penyampaian sumbangan tersebut telah diadakan di Kedai Muhibah Raya di Taman Bukit Kepayang iaitu pusat setempat (one stop centre) yang bertindak sebagai pasar percuma (free market), bank makanan (food bank) dan juga sebagai cawangan Pusat Khidmat DUN Bukit Kepayang.

“Dengan adanya program ini, membolehkan ketua-ketua masyarakat tersebut menyebarluaskan kewujudan perkhidmatan Kedai Muhibah Raya DUN Bukit Kepayang kepada masyarakat setempat di komuniti masing-masing.

“Saya berharap ketua-ketua masyarakat bersikap lebih proaktif, cakna serta prihatin mengenai keadaan ‘anak buah’ dalam komuniti masing-masing dengan menjadi mata dan telinga kepada wakil rakyat sekaligus memperkasa peranan pemimpin masyarakat tersebut,” ulas Nicole lagi.

Ketua-ketua masyarakat yang menyertai program berkenaan menyatakan kesyukuran di atas sumbangan daging lembu tersebut yang tepat pada masanya.

“Kami menghargai sumbangan daging lembu ini daripada YB Nicole Tan yang tidak melupai penduduk di sini sempena sambutan Aidiladha,” ujar Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Permai Impian, Encik Raja Zairul Azizi.

Pengerusi Badan Pengurusan Bersama Rumah Pangsa Dahlia, Encik Anuar Bashah berkata, sumbangan daging lembu ini banyak membantu keluarga golongan B40 yang amat terkesan dengan PKP di Daerah Seremban.

 

Show More

Related Articles

Back to top button