Berita

MB: Hari Kemerdekaan Peringkat Negeri Sembilan disambut secara tertutup

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, sambutan Hari Kemerdekaan Peringkat Negeri Sembilan pada 31 Ogos ini akan diadakan secara tertutup dan terhad.

Aminuddin berkata, Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud, akan berangkat mencemar duli pada majlis berkenaan.

“Sambutan Hari Kemerdekaan pada tahun ini akan diadakan di Padang Majlis Bandaraya Seremban (MBS) seperti tahun sebelumnya.

“Namun, mengambil kira risiko wabak Covid-19, sambutan pada tahun ini akan diadakan secara tertutup dan jemputan yang amat terhad dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

“Program yang akan diadakan juga ringkas yang akan bermula dengan nyanyian lagu Negeri Sembilan, diikuti lagu kebangsaan dengan menaikkan bendera Jalur Gemilang dan bacaan ikrar Rukun Negara oleh saya dan Exco Kerajaan Negeri serta Ketua Jabatan,” jelas Aminuddin.

Aminuddin menasihatkan orang ramai agar tidak hadir ke Padang MBS pada pagi 31 Ogos ini, sebaliknya boleh mengikuti sambutan ringkas kali ini yang akan disiarkan secara langsung melalui laman media sosial Facebook.

“Tiada perarakan pada tahun ini. Majlis akan bermula pukul 7.30 pagi dan dijangka tamat pada pukul 9.30 pagi,” katanya.

Sementara itu berkaitan SOP solat di masjid dan surau, Aminuddin berkata, Kerajaan Negeri akan mengikut SOP yang dikeluarkan oleh Kerajaan Persekutuan.

“Walaubagaimanapun, masyarakat amat digalakkan untuk terus membawa sejadah sendiri ketika menunaikan solat di masjid dan surau,” ujar Aminuddin.

Foto: Nabil Syafiq

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button