Berita

400 peniaga kecil bakal terima bantuan TUNS 15 Julai ini

Nilai minima pemilikan hartanah oleh syarikat asing adalah RM2 juta

SEREMBAN: Kerajaan Negeri akan mula agih dana Tabung Usahawan Negeri Sembilan (TUNS) iaitu geran bantuan untuk peniaga kecil bermula 15 Julai ini.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan Dan Modal Insan, YB Dato’ Dr. Mohamad Rafie Ab Malek berkata, seperti mana kejayaan pada tahun lepas, untuk tahun ini jumlah dana TUNS telah ditingkatkan daripada RM5 juta kepada RM6 juta.

“Kita mensasarkan seramai 2, 000 peniaga kecil yang akan mendapat manfaat dari TUNS.

“Kumpulan pertama sekitar 400 orang peniaga kecil akan menerima bantuan geran ini pada 15 Julai dan 16 Julai ini.

“Permohonan selebihnya sedang diproses dan kita akan serahkan bantuan ini secara berperingkat di Pejabat ADUN masing-masing,” kata Rafie.

Rafie turut menjelaskan kelewatan agihan dana TUNS pada tahun ini disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat wabak Covid-19.

Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan Dan Kampung Baru, YB Teo Kok Seong berkata Kerajaan Negeri melalui program Power House Gemilang (PH GEM) turut menjalankan pelbagai program untuk mendidik peniaga kecil untuk meningkatkan daya saing perniagaan mereka.

“Ini termasuk dengan menawarkan pelbagai jenis kursus, termasuk cara pemasaran yang komersial menggunakan pelbagai platform yang sedia ada,” kata Teo.

Sementara itu Rafie berkata, bagi merangsang sektor perindustrian dalam Negeri Sembilan, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri telah memutuskan bahawa nilai minima pemilikan hartanah oleh syarikat asing adalah sebanyak RM2 juta ringgit.

“Syarikat tersebut perlu berdaftar dengan MITI dan syarat pemilikan hartanah ini terpakai untuk tanah pajakan dan pegangan bebas (freehold),” ujar Rafie.

 

Show More

Related Articles

Back to top button