Aktiviti

Pertang: Bukit Batu Beras satu tarikan pelancong

PERTANG: Kelab Sukan dan Rekreasi Kampung Jerang dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Jerang dengan kerjasama Pejabat Penyelaras DUN Pertang telah menganjurkan Program Khemah Kerja Ilmu Survival dan Pendakian (Hiking) Bukit Batu Beras di Pertang, Jelebu.

Menurut Penyelaras DUN Pertang, Tuan Yus Mazmi Ahmad Yusof, seramai 100 peserta dari seluruh pelusuk Negeri Sembilan telah mendaftarkan diri mengikut SOP yang ditetapkan. Peserta dibahagikan kepada tiga kumpulan bagi memudahkan pihak urusetia mengawal selia aktiviti pergerakan peserta.

“Saya berharap pengalaman pendakian ini dapat dikongsikan kepada rakan taulan melalui media sosial.

“Perkongsian ini antara lain bertujuan dapat membantu mempromosi keindahan Bukit Batu Beras sebagai destinasi pelancongan di Daerah Jelebu khususnya di DUN Pertang, sekaligus merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi penduduk setempat.

“Aktiviti hiking ini juga dapat mendidik masyarakat tentang perlunya kita menjaga warisan alam semulajadi flora dan fauna,” kata Yus Mazmi.

Yus Mazmi berkata, Bukit Batu Beras merupakan satu tarikan pelancong khususnya kepada mereka yang meminati aktiviti pendakian.

Sementara itu, ADUN Klawang, YB Bakri Sawir mengalu-alukan penganjuran khemah kerja ini.

“Mereka yang berminat mendaki perlu ada sedikit sebanyak ilmu pendakian agar dapat menjaga keselamatan masing-masing dan tahu untuk mengambil tindakan yang sewajarnya jika berlaku apa-apa kecemasan.

“Di samping itu juga program seumpama ini dapat meningkatkan dan menjaga kesihatan diri.

“Saya berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya.

Turut hadir ADUN Klawang, YB Bakri Sawir; Pegawai Daerah Jelebu, Tuan Abdul Rahim A.Aziz; Pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan Daerah Jelebu, Puan Nurhanani Mohd Nor; Pengerusi MPKK Kampung Jerang, Encik Shahruddin Dollah; Pengerusi Kelab Sukan dan Rekreasi Kampung Jerang, Saudara Wan Ahmad Nasution; Wakil Ulu Selangor Hikers, Puan Asyikin Mohd Noor dan Wakil Jempol Hikers, Puan Rahimah.

Yus Mazmi turut merakamkan penghargaan kepada Angkatan Pertahanan Awam Daerah Jelebu, Pejabat Belia dan Sukan Daerah Jelebu, Anggota Balai Polis Jerang dan semua pengerusi MPKK di DUN Pertang.

 

Show More

Related Articles

Back to top button