Berita

43 pelajar IPT dari Sikamat terima bantuan kewangan dari MB

SIKAMAT: Seramai 43 pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) dari DUN Sikamat yang kurang kemampuan menerima bantuan kewangan dari Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun.

Aminuddin berkata, Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan sentiasa menitikberatkan pembangunan para pelajar, baik daripada peringkat sekolah mahupun IPT.

“Pelbagai inisiatif telah dijalankan agar kecemerlangan para pelajar di Negeri Sembilan dapat diteruskan.

“Antara inisiatif yang telah dijalankan adalah Bantuan Anak Sekolah (BAS) yang diberikan kepada anak-anak yang ibubapanya berdaftar di dalam sistem data e-Kasih.

“Elaun tunai berjumlah RM50 setiap bulan ini diharapkan dapat mengurangkan beban yang ditanggung oleh ibubapa yang kurang berkemampuan agar anak-anak mereka dapat menghadirkan diri ke sekolah,” katanya di majlis penyerahan cek kepada pelajar tersebut di Balai Raya Taman Desa Rhu.

Aminuddin mengucapkan tahniah kepada 43 pelajar tersebut yang melanjutkan pendidikan peringkat Ijazah, diploma dan sijil.

Menurut Aminuddin, Kerajaan Negeri melalui Yayasan Negeri Sembilan turut memberikan elaun berjumlah RM100 kepada mahasiswa Negeri Sembilan yang kurang berkemampuan bagi meringankan kos sara hidup di IPT.

“Bagi menghargai anak-anak yang menerima keputusan cemerlang di IPT, Kerajaan Negeri memberikan wang saguhati kepada mereka yang menerima keputusan cemerlang (kepujian) ketika menamatkan pengajian.

“Semua ini adalah bagi memberikan galakan serta sokongan kepada anak-anak di Negeri Sembilan untuk memperoleh keputusan cemerlang.

“Hal ini kerana Kerajaan Negeri percaya bahawa anak-anak ini adalah pelapis generasi akan datang serta bakal menjadi pemimpin yang akan memacu kemajuan negeri dan negara.

Semoga bantuan-bantuan ini dapat dimanfaatkan oleh para penerima dengan sebaiknya dan seterusnya dapat membantu mereka dalam mencapai kecemerlangan di menara gading,” ujar Aminuddin.

Foto: Nabil Syafiq

Show More

Related Articles

Back to top button