Berita

Rafie: Peluang perniagaan Bumiputera perlu diteroka sepenuhnya

GEMAS: Pejabat Penyelaras DUN Gemas telah menganjurkan Majlis Ramah Mesra YB Dato’ Dr Mohamad Rafie Abd Malek bersama Usahawan Bumiputera dan Ahli Kariah Masjid Nurul Huda Felda Jelai 3.

Majlis yang diadakan di Masjid Felda Jelai 3 itu turut mendapat kerjasama MPKK Kampung Felda Jelai 3 dan Ahli Jawatankuasa Masjid Felda Jelai 3.

Mohamad Rafie dalam ucapannya berkata usahawan perlu bijak mengambil peluang perniagaan dan mengubah mentaliti mereka dalam usaha menaikkan taraf ekonomi orang Melayu.

“Peluang perniagaan Bumiputera masih belum diterokai sepenuhnya walaupun agensi kerajaan sedia memberikan pelbagai bantuan termasuk kewangan serta bimbingan.

‘‘Walaupun usahawan tempatan mempunyai kepandaian atau ilmu, kegagalan memanfaatkannya sebaik mungkin akan menyebabkan perniagaan mereka menjadi sia-sia,” katanya.

Bagaimanapun katanya, ada juga usahawan Bumiputera yang berjaya walaupun bermula dengan perniagaan secara sambilan.

“Ini menunjukkan sektor perniagaan mempunyai masa depan yang cukup cerah selain dapat menjana pendapatan khususnya golongan Bumiputera,” ujarnya.

Mohamad Rafie turut menyampaikan sumbangan barangan keperluan asas kepada 20 penerima di kalangan warga emas, ibu tunggal dan anak yatim.

Mohamad Rafie turut menyampaikan sumbangan Penyelaras DUN Gemas kepada pengurusan masjid yang berbentuk sebuah kerusi roda dan telekung untuk kemudahan jemaah.

Turut hadir Penyelaras DUN Gemas, Puan Rusnani Saring; Pegawai Pejabat Agama Gemas, Ustaz Iylia; Penolong Pegawai Daerah Gemas, Puan Suriani Salihan, Pengurus-pengurus Felda Zon Jelai dan kepimpinan MPKK DUN Gemas.

 

Show More

Related Articles

Back to top button