BeritaMenarik

Isu banjir di Labu akan diatasi segera: ARUL KUMAR

LABU: Masalah banjir melibatkan Kampung Batu 10, Kampung Labu Hilir, Kampung Pulau dan Kampung Tiroi di DUN Labu akan diatasi segera.

Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, YB J.Arul Kumar berkata, beliau telah mengadakan perbincangan dengan kontraktor yang menjalankan kerja-kerja naik taraf landasan keretapi berkembar dari Kuala Lumpur ke Seremban.

“Landasan keretapi melintas empat buah kampung tersebut dan kami membincangkan beberapa penyelesaian jangka masa pendek untuk menyelesaikan isu banjir.

“Pihak kontraktor sedang mengambil tindakan untuk menaik taraf beberapa kawasan laluan air yang dapat mengelakkan masalah banjir setelah projek ini selesai.

“Kerja-kerja menaiktaraf ini hanya melibatkan kawasan rizab keretapi sahaja dan skop kerja pihak kontraktor pun hanya dalam kawasan rizab termasuk kerja-kerja penggantian landasan keretapi.

“Longkang atau laluan air yang dibuat pun hanya untuk menampung air dari kawasan landasan keretapi sahaja,” jelas Arul Kumar.

Justeru itu menurut Arul Kumar, sebarang masalah yang berada di luar kawasan rizab dan berpunca daripada isu lain, beliau akan meminta Pejabat Daerah dan Tanah Seremban serta Jabatan Pengairan dan Saliran untuk mengambil tindakan.

“Pemantauan sebelum ini dilakukan dan mendapati juga banjir yang berlaku sebelum ini berpunca daripada aliran air dari kawasan persendirian.

“Saya juga telah meminta kepada Pejabat Daerah dan Tanah Seremban untuk memaklumkan kepada pemilik-pemilik tanah tersebut untuk mengambil tindakan sewajarnya dan bukan terus mengalirkan air ke kawasan rizab keretapi,” kata Arul Kumar yang juga ADUN Nilai.

Show More

Related Articles

Back to top button