Aktiviti

Chin Tsai: KRT perlu hebah insentif Kerajaan Negeri pada masyarakat

TEMIANG: Pusat Khidmat Rakyat DUN Temiang telah menganjurkan Program Mesra Komuniti DUN Temiang sempena Sambutan Hari Malaysia 2020.

ADUN Temiang, YB Ng Chin Tsai berkata, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) mempunyai tanggungjawab yang sangat besar dan perlu bertindak sebagai jambatan antara Kerajaan Negeri dan penduduk tempatan.

“KRT mempunyai tanggungjawab yang sangat penting untuk menyampaikan mesej, dasar, inisiatif dan insentif yang Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan laksana untuk rakyat.

“KRT juga adalah ‘mata’ dan ‘telinga’ kepada Kerajaan Negeri agar permasalahan rakyat boleh disampaikan kepada Kerajaan Negeri,” katanya.

Chin Tsai berkata, Kerajaan Negeri telah mengumumkan banyak bantuan dan inisiatif seperti PH GEM, TUNS, Bantuan Anak Sekolah, Bantuan Alat Implant Ortopedik, Bas Bandar Percuma dan banyak lagi untuk membantu golongan yang berpendapatan rendah.

“Di samping itu, memandangkan kehidupan rakyat juga terjejas sejak perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga hari ini; Kerajaan Negeri juga telah memberi bantuan barang makanan kepada ADUN-ADUN untuk disumbangkan kepada mereka yang terjejas agar ianya boleh mengurangkan beban rakyat.

“Di DUN Temiang, Pusat Khidmat Rakyat DUN Temiang juga berkerjasama dengan badan NGO bagi mengadakan Program Menyumbang Barangan Keperluan Dapur kepada penduduk yang miskin dan warga emas,” ujar Chin Tsai.

Menurut Chin Tsai, pihaknya menyediakan 300 set barangan keperluan makanan asas kepada warga tua yang miskin dan berpendapatan rendah di Kawasan Temiang.

“Badan NGO dan persatuan masyarakat juga memberi komitmen yang tinggi dalam usaha membantu golongan yang kurang mampu.

“Program ini dilancarkan pada bulan Julai 2020 dan akan dilanjutkan sehingga bulan Disember 2020,” jelas Chin Tsai.

Dalam majlis yang sama Chin Tsai juga menyerahkan 23,000 keping pelitup muka (mask) kepada KRT dan MPKK DUN Temiang untuk diedarkan kepada penduduk Temiang.

“Pada masa sekarang, pelitup muka telah menjadi satu keperluan yang penting dalam kehidupan rakyat.

“Maka saya berharap semua pihak boleh menyumbang pelitup muka kepada golongan yang memerlukan dan mengamalkan SOP yang ditetapkan oleh pihak Kerajaan,” ulas Chin Tsai.

Show More

Related Articles

Back to top button