Berita

MPKK perlu sambut PH GEM, tingkatkan ekonomi wanita kampung

JERAM PADANG: Penyelaras DUN Jeram Padang, Tuan Musliadi Sabtu menyeru MPKK menyambut usaha Power House Wanita Gemilang (PH GEM) untuk mempertingkatkan ekonomi wanita luar bandar.

Musliadi berkata, Kerajaan Negeri Sembilan di bawah Pakatan Harapan (PH) sedang berusaha melaksanakan salah satu janji manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang pernah dijanjikan untuk kaum wanita.

“Selepas mengambil alih Kerajaan Negeri pada 9 Mei 2018, Pakatan Harapan menunaikannya pada bulan November 2018 di mana kerajaan Negeri Sembilan mula mewujudkan satu program khas untuk memperkasakan golongan wanita yang dikenali sebagai Power House Wanita Gemilang (PH GEM).

“PH GEM di bawah Exco Wanita dan Kebajikan, YB Nicole Tan Lee Koon telah memperkenalkan pelbagai program termasuk kelas kaunseling, kursus kemahiran, program perniagaan dan bengkel pemerkasaan wanita,” katanya.

Baru-baru ini, MPKK Kampung Felda Palong 1 dengan kerjasama PH GEM telah menganjurkan program membuat roti dan mee kuning di Balai Raya Felda Palong 1.

“Dengan adanya program sebegini, saya amat berharap agar dapat dilahirkan usahawan di kalangan wanita di luar bandar terutama wanita yang berada di kawasan DUN Jeram Padang.

“Semoga setiap MPKK dapat menjadi pemangkin untuk mengeluarkan produk dan hasil dari pembelajaran di program PH GEM ini untuk meningkatkan ekonomi wanita dan penduduk kampung itu sendiri,” kata Musliadi.

Nicole turut hadir sama menjayakan program ini.

 

Show More

Related Articles

Back to top button