Berita

Bakri saran pengusaha pertanian memperolehi Sijil myGAP

JELEBU: Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, YB Bakri Sawir telah melakukan lawatan ke Tapak Taman Kekal Pengeluaran Makanan di Air Baning, Simpang Durian.

Tujuan lawatan ini adalah untuk meninjau perkembangan usahawan yang mengambil bahagian di dalam usaha pengeluaran makanan di daerah ini.

Bakri berkata peserta perlu mengusahakan lot tanah yang mereka sewa daripada pihak kerajaan secara serius.

“Produk mereka pada masa ini dijual ke seluruh negeri dan kawasan Lembah Kelang.

“Bagi memastikan pengeluaran hasil produk mereka dapat menembusi pasaran antarabangsa, peserta Tapak Pengeluaran Kekal Makanan (TKPM) di negeri ini perlu mempunyai Sijil Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP ), sekiranya mahu produk pertanian dipasarkan ke luar negara,” kata Bakri.

Bakri yang juga ADUN Klawang berkata, myGAP merupakan satu skim pensijilan yang dirangka Jabatan Pertanian bagi mengiktiraf ladang yang mengamalkan Amalan Pertanian Baik (APB).

Katanya, APB berkonsepkan mesra alam sekitar, menjaga kebajikan dan keselamatan pekerja seterusnya menghasilkan produk yang berkualiti dan selamat dimakan.

“Di negeri ini kita mempunyai lima TKPM membabitkan keluasan 333.6 hektar yang diusahakan peserta dengan pelbagai tanaman meliputi sayur-sayuran serta buah-buahan.

“Sayur-sayuran yang ditanam antaranya kacang botol, cili, peria, petola, kacang panjang manakala buah-buahan seperti rock melon dan nangka.

” Bagaimanapun hanya 30 perserta daripada 50 peserta TKPM ketika ini sudah memiliki Sijil myGAP dan selebihnya diharap dapat berbuat demikian,” ujar Bakri lagi.

Hadir sama Penolong Pegawai Pertanian Daerah Jelebu, Puan Norpadilah Nordin.

Bakri berkata, dengan adanya Sijil myGAP hasil produk pertanian diusahakan peserta boleh di eksport ke luar negara antaranya Singapura yang mempunyai syarat pengimportan hasil pertanian dari luar negara yang ketat.

 

Show More

Related Articles

Back to top button