BeritaProgram

Aminuddin serah kunci rumah kepada 351 penjawat awam

SEREMBAN: Seramai 351 penjawat awam menerima kunci rumah daripada Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun.

Aminuddin berkata, Projek Perumahan Penjawat Awam Negeri Sembilan yang diberi nama Taman Rimbun Harapan ini adalah inisiatif Kerajaan Negeri dalam membantu penjawat awam di Negeri Sembilan untuk memiliki rumah sendiri dengan harga mampu milik.

“Projek ini merupakan usahasama di antara PKNNS dan syarikat pemaju Syarikat De Four Development Sdn Bhd dan telah dimajukan atas tanah milik PKNNS seluas 45.96 ekar berdekatan Seremban 2 Heights dan Bandar Ainsdale.

“Projek ini menempatkan 351 unit rumah teres satu tingkat yang dibahagikan kepada dua jenis.

“Jenis yang pertama, rumah Type A sebanyak 150 unit dengan keluasan 22 kaki x 65 kaki yang dijual pada harga minimum RM90,000 dan jenis yang kedua adalah rumah Type B sebanyak 201 unit yang berkeluasan 22 kaki x 70 kaki yang dijual dengan harga minimum RM250,000,” jelas Aminuddin.

Aminuddin mengucapkan tahniah kepada pihak pemaju yang berjaya menyiapkan projek lengkap dengan CCC dalam tempoh kurang dua tahun.

“Pihak pemaju turut berbesar hati menyumbangkan sebuah van jenazah untuk kegunaan para penduduk.

“Besarlah harapan saya agar para penduduk dapat hidup dalam suasana harmoni, sejahtera dan bersatu padu sesuai dengan moto Kerajaan Negeri Sembilan iaitu ‘Bersih, Muafakat, Sejahtera’,” kata Aminuddin.

 

Foto: Nabil Syafiq

Show More

Related Articles

Back to top button