Kolumnis

Kerajaan Negeri Sembilan berusaha tangani krisis kenaikan harga makanan

MOHD FAUZI FADZIL: Sejak Julai 2022 rakyat Malaysia, termasuk masyarakat di Negeri Sembilan akan terbeban dengan kenaikan harga makanan sehingga 60 peratus; menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Prof. Emeritus Dr.Barjoyai Bardai.

Permintaan terhadap produk makanan yang meningkat berbanding bekalan makanan yang berkurangan di Malaysia menyebabkan kenaikan harga tersebut mustahil untuk dikawal. Pada tahun 2021 dilaporkan bahawa Malaysia telah mengimport lebih 50 peratus bekalan makanan yang bernilai sekitar RM63 bilion.

Keadaan menjadi parah pada tahun ini apabila perang Rusia-Ukraine telah menjejaskan sektor import dan mengakibatkan penawaran barang makanan peringkat global menjadi kurang manakala permintaan di dalam negara meningkat tinggi, penambahan gaji minimum RM1,500.00 juga menyebabkan kuasa beli rakyat Malaysia meningkat terhadap barang makanan.

Peningkatan kuasa belia rakyat dan bekalan makanan yang kurang adalah resepi terbaik untuk kenaikan inflasi melibatkan barangan makanan di Malaysia.

Jika diimbau pada suatu masa dahulu sekitar tahun 1970-an, Malaysia pernah berhadapan dengan masalah inflasi. Kenaikan harga minyak pada waktu tersebut mengakibatkan inflasi berlaku, namun keadaan dapat dikawal kerana pada waktu tersebut ekonomi Malaysia masih stabil dengan perdagangan berlaku seperti biasa malah kerajaan melaksanakan polisi subsidi bagi membantu menstabilkan harga makanan.

Jika dibandingkan dengan keadaan pada waktu kini pasti sangat berbeza. Pendemik Covid-19 telah menjadi penghalang untuk perdagangan berlaku seperti biasa, kekurangan perdagangan mengakibatkan bekalan makanan berkurangan dan akhirnya harga makanan tidak dapat dikawal.

Isunya adalah bekalan makanan di dalam Malaysia yang tidak mampu menanggung permintaan rakyat, keputusan kepimpinan terdahulu untuk mengurangkan fokus terhadap sektor pertanian (dengan menumpukan perhatian terhadap sektor pembuatan/pengilangan) telah mengakibatkan Malaysia terpaksa bergantung kepada eksport makanan daripada luar untuk menampung keperluan dalaman.

Krisis makanan paling kritikal adalah melibatkan harga ayam dipasaran yang melambung tinggi, harga ayam pada hari ini boleh berada paras RM10.00 untuk satu kilogram walaupun Kerajaan Persekutuan telah menetapkan harga syiling sebanyak RM9.40 (harga jualan ayam boleh melebihi harga syiling apabila peniaga menambah kos sembelihan dan kos lain).

Kenaikan harga ayam ini adalah disebabkan kekurangan makanan ayam yang diimport daripada luar Malaysia, makanan untuk ayam merangkumi 70 peratus daripada keperluan modal keseluruhan yang lazimnya dilaburkan ke dalam industri penternakan. Justeru bekalan makanan ayam yang berkurangan dari luar negara menyebabkan harga ayam meningkat, subsidi kerajaan bagi menampung kenaikan harga ayam tidak akan mampu bertahan lama memandangkan bekalan ayam yang semakin berkurangan akibat kekurangan makannya.

Bantu turun harga ayam

Masalah ini disedari oleh kepimpinan Kerajaan Negeri Sembilan di bawah pimpinan YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun.

Justeru, beliau telah mengusahakan kerjasama bersama Kerajaan Negeri Selangor untuk membangunkan projek tanaman jagung bijirin. Usahasama tersebut telah mula dilakukan 18 Mei 2022, menariknya sejurus selepas usaha tersebut diumumkan oleh Kerajaan Negeri Sembilan; maka Kerajaan Persekutuan turut mengumumkan rancangan membangunkan kawasan pertanian baharu yang dinamakan Lembah Makanan Agro FGV di Chuping, Perlis.

Usaha menghasilkan makanan ayam melalui projek tanaman jagung bijirin ini akan membantu mengurangkan harga ayam memandangkan pengusaha dapat mengurangkan harga makanan ayam melalui bekalan di dalam negara yang lebih murah.

Namun usaha tersebut bukanlah suatu jalan penyelesaian yang mudah kerana Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menjangkakan tempoh 15 tahun diperlukan untuk menstabilkan industri penanaman jagung bijian untuk dijadikan makanan ternakan alternatif kepada dedak dalam usaha mengawal kenaikan harga ayam dan telur ayam di negara ini.

Namun pujian harus diberikan kepada Kerajaan Negeri Sembilan atas usaha terkehadapan ini untuk membantu negara mengharungi krisis kenaikan harga barang makanan.

Usaha Kerajaan Negeri Sembilan ini juga bakal melahirkan lebih ramai usahawan pertanian belia pada masa hadapan memandangkan ruang dan peluang yang mampu diwujudkan melalui projek yang telah dicadangkan.

Mohd Fauzi Fadzil
Exco Majlis Belia Malaysia

Show More

Related Articles

Back to top button