Berita

54 Siswazah Tani dapat manfaat bernilai setengah juta

Usaha kurangkan kadar pengangguran siswazah dan tingkatkan sektor pertanian

SEREMBAN: Seramai 54 siswazah menerima Insentif Siswazah Tani bagi tahun 2020 dengan jumlah nilai RM500,000; kata Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, YB Bakri Sawir (Klawang – Pakatan Harapan).

Melalui pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan 2020 pada 28 November 2019, Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk menubuhkan skim insentif atau geran kepada siswazah di Negeri Sembilan sebanyak RM10 ribu maksima.

“Ianya bertujuan untuk membantu meningkatkan ekonomi siswazah yang mana dapat mengurangkan kadar pengangguran di kalangan siswazah serta mempertingkatkan lagi sektor pertanian di Negeri Sembilan.

“Kerajaan Negeri telah mengeluarkan risalah bagi hebahan pembentangan Belanjawan 2020 yang mana Insentif Siswazah Tani tersenarai sebagai satu dari tiga Titik Fokus Belanjawan Pembangunan, Tahun 2020.

“Selain itu, bermula Januari 2020, hebahan melalui media sosial, Facebook dan laman web rasmi Jabatan Pertanian Negeri turut dipaparkan.

“Semua Pejabat Pertanian Daerah juga berperanan dalam hebahan dan mengenalpasti serta membuat siasatan dan tapisan bagi pertimbangan Jawatankuasa Pelulus, Insentif Siswazah Tani,” jelas Bakri.

Bakri berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan YB Dato’ Abd Samad Ibrahim (Seri Menanti – BN) di Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri Sembilan Yang Ke-14.

Abd Samad bertanya apakah kaedah promosi yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dalam menyampaikan maklumat Siswazah Tani kepada golongan sasar dan memohon Kerajaan Negeri nyatakan jumlah penerima yang telah berjaya menerima geran galakan ini bagi tahun 2020.

 

Show More

Related Articles

Back to top button