Berita

Kerajaan Negeri lancar sambutan ’16 Hari Aktivisme Melawan Keganasan Berasaskan Gender’

Forum Keganasan Terhadap Wanita 2020 pada 28 November. Sabtu. 2.00 petang

SEREMBAN: Sempena sambutan ‘Hari Antarabangsa Menangani Keganasan Terhadap Wanita‘, Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan melalui Jawatankuasa Wanita, Keluarga dan Kebajikan telah melancarkan sambutan ’16 Hari Aktivisme Melawan Keganasan Berasaskan Gender’ sebagai langkah advokasi kepada masyarakat umum di negeri ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, kempen ini bermula di peringkat pentadbiran Kerajaan Negeri yang disokong oleh semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dan sebagai simbolik, bersama-sama mengangkat plakad slogan ‘Hentikan Keganasan Terhadap Wanita’.

Pada setiap tahun, seluruh dunia menyambut ketibaan 25 November bagi meningkatkan kesedaran secara menyeluruh untuk menghentikan sebarang bentuk keganasan terhadap wanita. Isu keganasan terhadap wanita ini menarik perhatian dunia kerana ia boleh berlaku di dalam mana-mana negara melangkaui batas sempadan, agama, bangsa dan budaya.

“Isu ini perlu ditangani bagi mewujudkan persekitaran yang selamat untuk wanita supaya mereka bebas daripada penganiayaan. Keganasan terhadap wanita meliputi semua perbuatan menganiaya wanita dalam pelbagai cara termasuk penderaan fizikal, psikologikal, emosi dan sosial.

“Power House Wanita Gemilang (PH GEM) telah memasukkan kempen 𝘌𝘭𝘪𝘯𝘪𝘯𝘢𝘵𝘪𝘰𝘯 𝘰𝘧 𝘝𝘪𝘰𝘭𝘦𝘯𝘤𝘦 𝘈𝘨𝘢𝘪𝘯𝘴𝘵 𝘞𝘰𝘮𝘦𝘯 (EVAW) ini dalam kalendar program tahunan PH GEM selain dari Hari Wanita Sedunia, Persidangan Meja Bulat Wanita, Sidang Wanita, Kempen Kesedaran Kanser dan lain-lain.

“Melalui penganjuran tersebut, ia dapat memberi kesedaran kepada semua penduduk di Negeri Sembilan tentang wujudnya isu yang amat penting dan mereka boleh menyokong serta memainkan peranan masing-masing untuk menangani isu ini daripada terus berlaku,” kata Aminuddin.

Program EVAW pertama PH GEM adalah Forum Keganasan Terhadap Wanita 2020 pada hari Sabtu, jam 2.00 petang, 28 November ini.

Forum Zoom ini akan disiarkan secara LIVE di Facebook PH GEM yang akan menampilkan panel terdiri daripada Pensyarah Kanan Pakar Pendidikan IPG Kampus Raja Melewar, Dr.Hasnah Abdullah; Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah IPD Seremban 2,  ASP Aznira Shatilla Azminudin; Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sembilan, Puan Rosnah Sardi dan Pegawai Perubatan Hospital Kuala Lumpur, Dr Izzati Wan Maharuddin (Moderator).

 

Foto: Nabil Syafiq

Show More

Related Articles

Back to top button