Berita

600 ahli Bersatu Teluk Kemang keluar parti sertai KeADILan

Presiden KeADILan, DSAI terima borang keanggotaan parti

PORT DICKSON: Seramai 600 ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Cawangan Teluk Kemang mengisytihar keluar parti dan menyertai Parti KeADILan Rakyat (KeADILan).

Bekas Ketua Cawangan Bersatu Teluk Kemang, Saudara Mohd Ibrahim Khan Amanulla Khan berkata, beliau bersama ahli yang lain keliru dengan perkembangan politik parti Bersatu yang dianggap mengkhianati mandat rakyat.

“Bersatu tidak amanah dengan mandat yang diberikan oleh rakyat kepada Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.

“Justeru saya beranggapan bahawa keruntuhan Kerajaan Pusat Pakatan Harapan adalah lantaran keegoan sesetengan pihak yang kononnya kaya dengan dengan pengalaman berpolitik tetapi miskin dari segi tanggungjawab dan maruah.

“Dalam keadaan memungkiri janji pun mereka boleh mendabik dada bahawa merekalah yang hebat dalam berpolitik tatkala melompat untuk memasuki gelanggang lawan.

“Tanpa segan silu mereka mendakwa bahawa tindakan mereka adalah mengikut acuan politik semasa. Namun hakikat sebenarnya adalah untuk memenuhi kepentingan peribadi semata-mata,” kata Mohd Ibrahim.

Mohd Ibrahim berkata demikian dalam sidang media Majlis Pengisytiharan Keluar Parti Bersatu Cawangan Telok Kemang dan Penyerahan Borang Keanggotaan KeADILan di Tasik Villa International Resort petang kelmarin.

Penipuan paling besar apabila kesetiaan tidak dipatuhi

Mohd Ibrahim berkata, bagi mereka yang telah mengundi Pakatan Harapan dan menumbangkan BN; janji adalah segala-galanya buat mereka dan apabila ia tidak ditepati, sesalan pasti tidak akan membawa sebarang makna.

“Pepatah Jerman ada mengatakan bahawa janji adalah seperti rembulan. Jika ia tidak terus diabadikan, ia akan hilang hari demi hari.

“Penipuan yang paling besar adalah apabila kesetiaan yang tidak dipatuhi. Ini berlaku apabila ada pihak yang lari dan meruntuhkan Kerajaan Pusat Pakatan Harapan dalam usaha mengejar jawatan lebih tinggi.

“Apabila rakyat membina mimpi bersandarkan apa yang telah kita janjikan kepada mereka dan kita mengkhianatinya, punahlah harapan mereka,” ujar Mohd Ibrahim lagi.

Pada majlis tersebut, seramai 600 ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Cawangan Teluk Kemang, mengisytihar keluar parti dan menyertai KeADILan.

Mohd Ibrahim menyerahkan borang keanggotaan ahli baru KeADILan kepada Presiden KeADILan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Sementara itu Anwar berkata, beliau dimaklumkan oleh wakil mereka Saudara Ibrahim Khan, bahawa langkah keluar Bersatu itu susulan kecewa dengan perjuangan parti yang mengkhianati mandat rakyat selain hilang kepercayaan kepada pucuk kepimpinannya.

“Saya mewakili keluarga KeADILan mengalu-alukan penyertaan mereka serta mana-mana pihak yang ingin bersama terlibat dalam perjuangan memartabatkan hak rakyat berbilang kaum dan agenda reformasi,” kata Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson.

Foto: Facebook DSAI

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button