Berita

600 keluarga India terima sumbangan Yek sempena Deepavali

Sumbangan wang tunai, barangan asas buat kuih Deepavali dan mask

CHUAH: Sempena sambutan Deepavali pada 14 November ini, ADUN Chuah, YB Yek Diew Ching telah menyumbang barangan keperluan asas untuk membuat kuih Deepavali kepada 600 penganut Hindu yang kurang kemampuan di DUN Chuah.

Yek turut menyumbang sekotak pelitup muka (mask) kepada 600 penerima sumbangan tersebut.

“Malaysia memasuki gelombang ketiga pandemik Covid-19, saya faham ramai yang menghadapi kesusahan akibat wabak ini.

“Oleh itu, sempena Hari Deepavali yang akan datang ini, saya telah menyumbang barang mentah untuk membuat kuih dan biskut Deepavali untuk meringankan beban mereka.

“Dalam kunjungan rumah ke rumah, saya juga menghulurkan sumbangan wang tunai dari RM100 ke RM300 mengikut keperluan keluarga tersebut,” kata Yek.

Yek berkata, selain daripada menyumbang pelitup muka kepada setiap 600 rumah tersebut, beliau juga mengedarkan pelitup muka kepada semua rumah (keluarga) di DUN Chuah.

“Kita semua mesti bersama, berpadu tenaga memutuskan rantaian penularan jangkitan ini.

“Sumbangan pelitup muka ini diharapkan dapat meringankan beban rakyat pada masa yang sukar sekarang ini dan menggalak agar rakyat memakai pelitup muka.

“Semua barangan sumbangan Deepavali ini dibeli dari kedai-kedai runcit tempatan di DUN Chuah supaya dalam program penyumbangan barang Deepavali ini ianya tidak menjejaskan perniagaan mereka,” jelas Yek.

Yek merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua kakitangan dari Pusat Khidmat DUN Chuah, Ahli Majlis Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), MPKK DUN Chuah dan sukarelawan yang menyumbang tenaga, masa dan kenderaan mereka untuk membantu menghantar semua sumbangan kepada setiap keluarga.

“Program ini mungkin tidak akan berjaya tanpa kerjasama dan komitmen mereka semua,” katanya.

Foto: Alicia 

Show More

Related Articles

Back to top button