Berita

Penternak kehilangan 78 ekor kambing dihanyut banjir dapat perhatian Gunasekaren

JOHOL: ADUN Seremban Jaya, YB P.Gunasekaren telah menziarahi seorang penternak kambing yang kehilangan 78 ekor kambing akibat banjir di Kepis, Johol.

Gunasekaren berkata, kejadian banjir pada 19 November lepas, menyebabkan kediaman dan kandang kambing kepunyaan Ramasamy Letchumanan telah dimasuki air dan turut merosakkan harta benda.

“78 ekor kambing kepunyaan Ramasamy dihanyutkan arus deras dan kandangnya juga rosak teruk. Hanya dua ekor kambing terselamat.

“Musibah banjir ini memberi tamparan hebat kepada Ramasamy yang mengalami kerugian harta benda berikutan rumahnya turut dinaiki air.

“Malah beliau juga hilang sumber pendapatan akibat ternakannya dihanyut arus deras dan terpaksa menanggung kerugian yang besar,” kata Gunasekaren.

Gunasekaren berkata, beliau akan memanjangkan permasalahan dan kerugian Ramasamy kepada YAB Menteri Besar dalam masa terdekat bagi membantu Ramasamy mengusahakan semula ternakan kambing.

Sementara itu Gunasekaren berkata, seorang peniaga yang menjalankan perniagaan menjual anjing baka import turut terkesan dengan kejadian banjir pada bulan lepas.

“Chandran Thirumurthy dari Kampung Chedang mengalami kerugian perniagaan berikutan kematian anjing- anjing baka import yang mati dibawa arus deras dan tenggelam kerana banjir.

“Kejadian banjir kali ini cukup berbeza dan telah menyebabkan banyak kerugian kepada mangsa banjir dari segi harta benda dan haiwan ternakan.

“Saya juga mengalu-alukan sekiranya ada pihak yang sudi menghulurkan bantuan membantu pihak yang terjejas dengan bencana banjir tersebut,” ujar Gunasekaren.

 

Show More

Related Articles

Back to top button