Aktiviti

Nicole: Bantu barisan hadapan kita dengan berada di rumah

BUKIT KEPAYANG: ADUN Bukit Kepayang, YB Nicole Lee Tan Koon menyarankan orang ramai membantu barisan hadapan (frontliners) dengan berada di rumah.

Nicole berkata, kes penularan wabak covid meningkat setiap hari dan pahlawan barisan hadapan kita terutamanya sektor kesihatan berada dalam keadaan yang ‘tenat’.

“Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah dilaksanakan dengan harapan untuk menurunkan kes penularan ini.

“Namun, ramai yang tertekan berada di rumah dengan keadaan tekanan emosi, kekangan kewangan, ketegangan dari segi perhubungan dan sebagainya.

“Kita harus berfikir jauh. Menjalankan tanggungjawab kita, berada di rumah supaya dapat mengurangkan risiko jangkitan dan juga tolong mengurangkan beban sistem kesihatan,” katanya.

Nicole menyeru kepada orang ramai, agar bersama-sama mengambil cabaran untuk mencuba sesuatu yang baru dalam tempoh PKP ini.

“Melalui program Power House Wanita Gemilang (PH GEM), pelbagai program telah dirancangkan untuk dijalankan secara atas talian (online) supaya lebih ramai mendapat manfaat daripada program yang dijalankan.

“Sekiranya tidak mengetahui cara untuk log masuk, penyelia PH GEM sedia membantu untuk menerangkan bagaimana caranya untuk operasi secara atas talian. Melalui cara ini, saya berharap lebih ramai mengetahui cara penggunaan digital dan maju bersama,” ujar Nicole.

Mengenali bongkah cendawan

Nicole berkata, pada 24 Januari (esok), PH GEM akan mengadakan satu program ‘Mengenali Bongkah Cendawan’ secara atas talian pada jam 2.00 petang.

“Tujuan utama program ini untuk memberi pengenalan tentang bongkah cendawan dan juga sesi perkongsian bagaimana menjana pendapatan menggunakan modal yang kecil untuk bantu menampung kehidupan.

“Sesi ini sangat bermanfaat dan saya berharap orang ramai dapat menyertai sesi tersebut.

“Pautan untuk program ini akan diwar-warkan melalui Facebook PH GEM

“Bersama-sama kita kekal berada di rumah dan belajar sesuatu yang baharu,” kata Nicole.

Untuk memudahkan orang ramai, siaran langsung pada hari tersebut juga akan disiarkan di laman Facebook Nicole.

Show More

Related Articles

Back to top button