Berita

80 program disusun sempena Hijrah Merdeka Online 2021

SEREMBAN: Kerajaan Negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) telah menyusun lebih daripada 80 program sepanjang bulan Ogos ini, yang dinamakan Hijrah Merdeka Online 2021.

Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, memandangkan bulan Muharram tahun ini berada dalam bulan Kebangsaan; pelbagai program telah disusun termasuk program pengisian ilmu, pertandingan nasyid dan berzanji, pertandingan ilmiah, pertandingan bakat kreatif dan sukan e-sport.

“Justeru, saya mengajak masyarakat tidak mengira kaum dan agama dapat bersama-sama menyertai program-program yang telah disusun.

“Ini secara tidak langsung mampu menunjukkan rasa semangat patriotisme walaupun kita dalam keadaan keterbatasan akibat pandemik Covid-19 yang melanda.

“Besarlah harapan saya dengan semangat kebersamaan kita dalam merayakan Tahun Baru Islam dan Bulan Kebangsaan sekali gus, ianya meningkatkan rasa cinta kita kepada tanah air malah mengeratkan lagi hubungan silaturrahim sesama kita,” katanya.

Aminuddin berkata demikian, ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Maal Hijrah 1443H dan Pelancaran Hijrah Merdeka Online secara dalam talian dari kediaman rasmi beliau, lewat petang Isnin.

Turut hadir bersama, isteri beliau Datin Seri Wan Hasni Wan Yusof.

“Saya mendoakan agar keadaan kembali normal seperti sediakala.

“Sama-sama kita berdoa agar dengan kehadiran tahun 1443 Hijrah ini meningkatkan lagi ketakwaan kita kepada Allah SWT.

“Semoga tema ‘Manhaj Rabbani Ummah Berkualiti’ ini menjadi tulang belakang kepada impian kita semua,” ulas Aminuddin yang juga ADUN Sikamat.

Show More

Related Articles

Back to top button