Berita

Amalan membaca tingkatkan ilmu pengetahuan: AMINUDDIN

SEREMBAN: Amalan membaca merupakan cerminan tingkat kemajuan suatu bangsa dan dapat meningkatkan nilai tambah seseorang.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, salah satu cara mengukur perkembangan amalan membaca iaitu dengan melihat banyaknya perpustakaan yang dikunjungi oleh penggunanya.

“Penganjuran pesta buku juga dapat menilai sama ada masih wujud atau tidak minat membaca dalam kalangan masyarakat secara amnya.

“Tidak dapat dinafikan, zaman kian berubah dengan arus teknologi yang semakin mencabar.

“Terdapat segelintir orang yang suka membaca dalam bentuk elektronik. Tidak kira bagaimana sekalipun kaedah pilihan seseorang untuk membaca, usaha untuk meningkatkan amalan membaca tetap perlu dijalankan secara terus menerus,” kata Aminuddin.

Aminuddin berkata demikian di Majlis Perasmian Pesta Buku Negeri Sembilan di Mydin Mall, Seremban 2.

Beliau turut melancarkan Program Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) dan Program Read and Well Reuse.

Menurut Aminuddin lagi, buku adalah jendela ilmu pengetahuan yang mampu membuka minda seseorang.

“Dahulu sebelum masyarakat mengenal internet, buku dianggap sebagai jendela dunia.

“Membaca buku, banyak ilmu pengetahuan yang boleh diperoleh dan membentuk sikap serta tingkah laku individu.

“Sehubungan itu, buku sewajarnya mendapat perhatian khusus dan kedudukan yang istimewa di sisi masyarakat negara ini,” ujar Aminuddin.

 

Foto: Nabil Syafiq

Show More

Related Articles

Back to top button