Berita

Aidil: Kerajaan PH bantu tanpa perbezaan ideologi politik

Seramai 73 pelajar miskin DUN Juasseh terima Bantuan Anak Sekolah

JUASSEH: “Pendidikan adalah hak asasi kepada semua manusia. Tidak wajar sama sekali saluran bantuan untuk pendidikan disekat disebabkan perbezaan ideologi politik,” kata Penyelaras DUN Juasseh, Tuan Mohd Aidil Abdullah.

Mohd Aidil berkata demikian dalam Majlis Penyerahan Bantuan Anak Sekolah (B.A.S) DUN Juasseh di Dewan Mahabbah Daie, Jemapoh kelmarin.

“Ini adalah komitmen Kerajaan Pakatan Harapan Negeri yang bersungguh-sungguh mahukan hak pendidikan untuk anak negeri terjamin.

“Seramai 73 murid miskin dari Darjah 1 hingga Darjah 6 dan pelajar Tingkatan 1 dari 12 sekolah di DUN Juasseh menerima Bantuan Anak Sekolah pada hari ini.

“Bantuan ini akan diagihkan dalam dua fasa. Untuk Fasa 1 pada hari ini sebanyak RM300 diserahkan kepada penerima dan bakinya RM250 akan diserahkan dalam penyerahan Fasa 2 pada bulan Oktober.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan yang akan diterima oleh ibubapa yang miskin adalah sebanyak RM550 untuk tahun ini,” jelas Mohd Aidil.

 

Mohd Aidil berkata, pemilihan penerima ini berdasarkan kepada senarai yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) bersumberkan data keluarga yang berdaftar dengan e-Kasih.

Majlis penyerahan bantuan ini juga diadakan di tiga zon yang berbeza untuk tidak menyukarkan ibubapa hadir pada majlis penyerahan ini.

Penyerahan sesi kedua diadakan di Balairaya Kampung Pelangai. Sumbangan pada sesi petang ini melibatkan penerima bantuan daripada tiga buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Tuanku Munawir, Sekolah Kebangsaan Pasir Ambor dan Sekolah Kebangsaan Pelangai.

Turut hadir Timbalan PPD Sektor Pembangunan Murid, Encik Mohd Mulub Mohd Yusof; Pengerusi MPKK Pelangai, Encik Hanifullyzan Md Zin; Ahli Jawatankuasa MPKK Pelangai dan Ahli Jawatankuasa Wanita KeADILan DUN Juasseh.

 

Show More

Related Articles

Back to top button