Berita

Ambil tahu tentang bantuan khas Covid-19,” Veerapan

SEREMBAN: Exco Kesihatan Negeri Sembilan, YB Veerapan Superamaniam menasihatkan orang ramai mengambil tahu tentang jenis permohonan yang perlu dimohon, sekiranya berlaku kematian seseorang individu dan bantuan khas Covid-19 semasa pandemik ini.

“Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan akan menyalurkan bantuan khairat kematian berjumlah RM1,000 secara one-off kepada rakyat Negeri Sembilan yang meninggal dunia akibat Covid-19.

“Bantuan kewangan ini akan diberikan kepada keluarga pesakit Covid-19 yang meninggal dunia pada tahun 2021, bagi membantu meringankan beban mereka.

“Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) pula menawarkan Bantuan Khas Pengurusan Kematian Covid-19 sebanyak RM5,000 (one-off) kepada warganegara Malaysia yang menetap di negara ini.

“Bantuan wang tunai secara sekali bayaran itu akan diberikan kepada waris yang memenuhi syarat yang ditetapkan,” katanya.

Bantuan khas RM100 sehari

Veerapan berkata, selain itu Tabung Covid-19 NADMA diwujudkan pada 11 Mac tahun lalu, bagi memberi bantuan khas sebanyak RM100 sehari.

Bantuan khas berkenaan diberikan kepada rakyat Malaysia yang bekerja atau berniaga di negara ini namun kehilangan pendapatan atau tidak dibayar gaji berikutan dikenakan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian bagi Kontak Covid-19 dibawah Seksyen 15(1) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), atau menjalani rawatan di wad hospital yang dibenarkan Kemeneterian Kesihatan Malaysia untuk merawat Covid-19.

“Justeru, orang ramai perlu mempunyai pengetahuan tentang bantuan yang boleh dimohon agar dapat meringankan kos sara hidup dan menampung perbelanjaan kematian seseorang ahli keluarga,” ujar beliau lagi.

Warga DUN Repah yang mempunyai sebarang pertanyaan berhubung permohonan bantuan khairat kematian atau bantuan khas Covid-19; diminta hubungi Pusat Khidmat Rakyat DUN Repah di talian 06-441 5052 atau 06-444 9132.

Show More

Related Articles

Back to top button