Berita

Aminuddin: 20 ribu suntikan vaksin Covid-19 sehari bermula Julai

Penambahan 13 ribu suntikan sehari berbanding 7 ribu suntikan sekarang ini. 80% rakyat Negeri Sembilan akan divaksinisasi menjelang akhir Oktober

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun mengumumkan suntikan vaksin Covid-19 untuk rakyat Negeri Sembilan akan dipertingkatkan kepada 20 ribu suntikan sehari bermula Julai ini.

Aminuddin mengumumkan demikian dalam sidang media bersama Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (CITF), YB Khairy Jamaluddin di Wisma Negeri sebentar tadi.

Manakala Khairy berkata, sebanyak 600,000 dos bekalan vaksin Covid-19 akan dihantar ke Negeri Sembilan pada bulan Julai ini dan sasaran 80 peratus penduduk Negeri Sembilan divaksin akan dicapai menjelang akhir bulan Oktober ini.

“Mesyuarat pada hari ini untuk melihat strategi meningkatkan kadar vaksinisasi di Negeri Sembilan memandangkan Negeri Sembilan berhadapan dengan satu gelombang penularan Covid-19 yang tinggi.

“Negeri Sembilan juga merupakan salah satu negeri berasaskan industri, maka kluster tempat kerja juga semakin meningkat.

“Saya yakin pemberian vaksin kepada 80 peratus penduduk Negeri Sembilan dapat diselesaikan pada akhir bulan Oktober dan ini lebih awal daripada jadual asal pada bulan Disember ini,” jelas beliau.

Sementara itu, Aminuddin percaya sasaran suntikan 20,000 vaksin sehari dapat dicapai berbanding purata 7,000 suntikan sehari ketika ini; dengan pembukaan lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

“PPV Klinik Kesihatan akan ditambah dari 13 kepada 15, PPV Awam dari lapan kepada 15, Klinik Swasta dari 27 kepada 41.

“Selain itu, PPV Hospital Kerajaan (7), PPV Hospital Swasta (7), PPV Bergerak (7), PPV Mega di Universiti Sains Islam Malaysia (1) dan PPV Industri di D’Tempat Bandar Seri Sendayan,” katanya.

 

Foto: Nabil Syafiq

Show More

Related Articles

Back to top button