BeritaProgram

26,170 peserta PH GEM mendapat manfaat: Nicole

SEREMBAN: Seramai 26,170 peserta telah mendapat manfaat daripada program Power House Wanita Gemilang (PH GEM) sejak tahun 2018.

Exco Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan Negeri Sembilan, YB Nicole Tan Lee Koon berkata, ini menjadikan secara keseluruhan 90 peratus peserta PH GEM di bawah sektor sosio ekonomi telah berjaya menjana pendapatan sehingga kini.

“40 peratus peserta diberi sumbangan ketuhar elektrik, mesin jahit dan peralatan yang lengkap untuk melukis henna bagi memudahkan operasi perniagaan dan ilmu yang mereka akan dalami di dalam program PH GEM.

“Selain itu, 50 peratus daripada peserta yang mengikuti program PH GEM telah berjaya menjalankan operasi perniagaan mereka hanya dari rumah dan juga secara atas talian seperti di aplikasi Facebook, Shopee, PG Mall, Instagram dan juga Tik Tok.

“Ini secara tidak langsung memudahkan mereka untuk menguruskan keluarga dan juga rumahtangga,” kata Nicole di Persidangan Pertama Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 pada Rabu.

Nicole berkata demikian bagi menjawab soalan yang dikemukakan oleh ADUN Seremban Jaya, YB P.Gunasekaren (Pakatan Harapan).

Nicole juga berkata, PH GEM adalah untuk memperkasakan wanita daripada pelbagai peringkat umur dan kaum tanpa mengira latar belakang.

“Selagi mereka berminat dan berkesungguhan, PH GEM akan membantu ke arah pemerkasaan setiap aspek tetapi keutamaan PH GEM ialah di dalam pendidikan, hak asasi, kesihatan, alam sekitar dan kebajikan sosial serta ekonomi,” tambah Nicole lagi.

 

Foto: Nabil Syafiq

Show More

Related Articles

Back to top button