Berita

Hafiz: Adakah Mat Hasan tiada pengaruh dalam Kerajaan PN?

Hafiz lontar empat persoalan kepada Mohamad Hasan

SEREMBAN: Ketua Angkatan Muda KeADILan (AMK) Negeri Sembilan, Saudara Mohamad Hafiz Mohamad melontarkan persoalan adakah Timbalan Presiden Umno, YB Dato’ Seri Mohamad Hasan tiada pengaruh di dalam Kerajaan PN Pusat.

Mohd Hafiz bertanya mampukah Mohamad Hasan (Mat Hasan) menggesa Kerajaan PN Pusat untuk menambah bekalan dos vaksin bagi mempercepatkan proses vaksinasi di Negeri Sembilan.

“Adakah terdapat komunikasi secara langsung antara beliau dengan Pengerusi CITF, YB Khairy Jamaluddin bagi menggembleng usaha membantu proses vaksinasi rakyat di Negeri Sembilan?

“Adakah beliau selaku Timbalan Presiden Umno, yang juga sebahagian daripada PN tidak mampu mempengaruhi halatuju pentadbiran Kerajaan PN?

“Saya bertanya empat persoalan ini kerana kenyataan beliau baru-baru ini, mengaitkan kelemahan Kerajaan Negeri Sembilan dengan peningkatan kes Covid-19, menggambarkan seolah-olah beliau sudah tiada pengaruh dalam hala tuju Kerajaan PN Pusat,” kata Mohamad Hafiz.

Mohamad Hafiz menjelaskan, peningkatan kes Covid-19 adalah hasil daripada usaha dan inisiatif Kerajaan Negeri menjalankan ujian saringan bersasar bersama pihak majikan dalam sektor perindustrian serta saringan kontak rapat dan saringan bergejala, khususnya di Seremban.

“Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malasyia (KKM), jelas menunjukkan bahawa punca utama pertambahan kes adalah disebabkan pembukaan sektor perindustrian di Malaysia, yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

“Masyarakat sedia maklum bahawa sektor perindustrian telah menjadi penyumbang terbesar dalam pembentukan kluster-kluster baharu yang seterusnya menyumbang kepada pertambahan kes di seluruh negara, dan bukannya di Negeri Sembilan sahaja.

“Pentadbiran Kerajaan Negeri tidak memiliki kuasa untuk menutup sektor perindustrian yang dipertanggungjawabkan di bawah MITI. Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri perlu mengambil langkah alternatif dengan melipatgandakan usaha saringan bersasar khususnya dalam sektor perindustrian bagi mengekang penularan wabak Covid-19 di Negeri Sembilan,” jelas Mohamad Hafiz lagi.

RM29.4 juta telah dibelanjakan untuk memerangi Covid-19

Menurut Mohamad Hafiz, pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan di bawah kepimpinan YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun telah meluluskan peruntukan sebanyak RM30 juta bagi memerangi Covid-19 melalui Dewan Undangan Negeri ketika pembentangan Belanjawan Negeri 2021 yang lalu.

Sebanyak RM29,401,352 telah dibelanjakan untuk tujuan tersebut sepanjang tahun 2021 sehingga ke hari ini.

Bagi memastikan pengurusan dan perjalanan program vaksinasi di Negeri Sembilan berjalan dengan lancar, Kerajaan Negeri telah mempersiapkan segala bentuk fasiliti dan infrasturktur bagi menampung keperluan vaksinasi kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan.

“Selain daripada Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang disediakan oleh pihak Kerajaan Persekutuan, sebanyak tujuh buah hospital swasta, 28 buah klinik swasta dan PPV Mega USIM telah disediakan oleh pihak Kerajaan Negeri.

“Walaupun jumlah kapasiti sedia ada mampu menampung sehingga 13,814 penerima dos vaksin, secara purata hanya 8,000 dos sahaja yang dibekalkan oleh Covid-19 Immunisation Task Force (CITF).

“Oleh itu, saya menggesa agar bekalan dos vaksin dapat segera ditingkatkan di Negeri Sembilan dan juga di seluruh negara bagi menyegerakan misi mencapai imuniti kelompok,” ujar Mohamad Hafiz lagi.

 

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button