Berita

Tanaman anggur di Port Dickson berjaya membuahkan hasil

BAGAN PINANG: Siapa sangka Port Dickson yang popular dengan pantai peranginan, kini mempunyai satu lagi daya tarikan baharu iaitu tanaman anggur.

Menurut Penyelaras DUN Bagan Pinang, Tuan Nasir Rahman, beliau teruja dengan usaha Encik Ismail Mohamad, 45, dan isterinya Puan Suhaili Ahmad, 44; yang mengusahakan tanaman anggur di Kampung Baru Si Rusa di sini.

“Encik Ismail pada mulanya mencuba menanam anggur sebagai satu eksperimen atau projek rintis (pilot project) dalam tempoh PKP sejak setahun yang lepas.

“Eksperimen beliau berjaya dan dalam tempoh 12 bulan ini, beliau telah menanam lebih 80 anak benih anggur dan hasilnya amat membanggakan (berbuah lebat).

“Justeru, bagi membantu usaha beliau, saya telah menyumbang plastik UV (bumbung penahan haba) kepada beliau,” kata Nasir.

Nasir berkata, pada mulanya beliau seperti tidak percaya apabila dimaklumkan tanaman anggur mampu hidup dan membuahkan hasil di Port Dickson kerana ianya bukan tanah tinggi (cuaca sejuk) seperti di Cameron Highlands.

“Saya berharap agar kebun anggur ini akan menjadi satu destinasi yang wajib dikunjungi kepada pelancong yang datang ke Port Dickson nanti.

“Saya juga telah berbincang dengan Encik Ismail untuk memperkenalkan program tanaman anggur kepada individu yang berminat.

“Kita bukan sekadar mahu menjual benih anggur kepada usahawan tani, malah mahu melatih cara menanam dan menjaga tanaman anggur ini,” jelas Nasir.

Show More

Related Articles

Back to top button