Berita

Aminuddin berhasrat KAYNS dinaik taraf jadi universiti

Aminuddin saran KAYNS melakukan rebranding (penjenamaan semula)

KUALA PILAH: Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun menyatakan harapannya mahu melihat Kolej Kumpulan Akademi Yayasan Negeri Sembilan (KAYNS) dinaik taraf menjadi sebuah universiti.

Aminuddin berkata, dalam usaha mengukuhkan dan memantapkan persepsi awam, keyakinan industri, kepercayaan pelabur, kepercayaan masyarakat dan keberkesanan pemasaran kepada graduan KAYNS; sudah tiba masanya agar KAYNS mengkaji kemungkinan agar institusi ini melakukan rebranding (penjenamaan semula).

“Rebranding bukanlah bermaksud pembaharuan nama dan logo semata-mata, malah ia termasuk semua bidang dan struktur organisasi.

“Dalam usaha rebranding, di dalam pakej perancangan strategiknya, harus juga dirancangkan agar dalam tempoh tertentu, KAYNS ini dapat dinaik taraf kepada sebuah Kolej Universiti.

“Dalam tempoh tertentu kemudiannya pula, dinaikkan taraf kepada sebuah Universiti Kemahiran.

“Mungkin ini semua baru diperingkat imaginasi. Namun, begitulah sifatnya sebuah kejayaan, semuanya bermula dengan sebuah impian,” katanya.

Aminuddin berkata demikian dalam Majlis Pecah Tanah Projek Naik Taraf Kampus KAYNS di Institut Teknologi Yayasan Negeri Sembilan, Gentam.

Usahakan kerjasama dengan industry player (pemain industri)

Aminuddin juga menyarankan agar pihak KAYNS dapat mempertingkatkan kajian dan keberkesanan perhubungan dengan pihak industri kecil dan sederhana yang telah jelas menunjukkan kejayaan.

“Usahakanlah kerjasama dengan industri berkaitan, agar para pelajar kita dapat ditempatkan sebagai pelatih praktikal atau pekerja di industri mereka.

“Jika perlu, lakukanlah rekabentuk modul yang bersifat jangka pendek (mengikut masa yang diperlukan), agar program-program ini dapat membantu anak-anak muda kita mendapat latihan dan pekerjaan dengan cepat, khususnya dalam menghadapi tekanan bencana Covid-19 dan PKP yang sedang dihadapi negara sekarang ini,” jelas Aminuddin.

Turut hadir Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri, YB Dato’ Zulkefly Mohamad Omar; Exco Kerajaan Negeri; Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah KAYNS, Dato’ Mohd Khidir Majid dan Ketua Ekskutif (CEO) KAYNS, Encik Bahrom Bakar.

 

Show More

Related Articles

Back to top button