Berita

Aminuddin bongkar perlombongan haram nadir bumi di Kuala Pilah

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun telah membongkarkan satu aktiviti perlombongan haram nadir bumi di Kampung Sikai, Seri Menanti.

Aminuddin berkata, aktiviti yang dilakukan di atas dua lot tanah milik tersebut terbongkar apabila satu siasatan bersepadu telah dijalankan oleh Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Sembilan, Jabatan Mineral dan Geosains Negeri Sembilan dan Melaka dengan bantuan Polis DiRaja Malaysia.

“Berdasarkan pemerhatian secara kasar, kaedah perlombongan tersebut dijalankan menggunakan proses larut resap in-situ (in-situ leaching) iaitu kaedah perlombongan yang tidak memerlukan pembukaan kawasan yang besar untuk kerja-kerja pengorekan.

“Walau bagaimanapun, proses tersebut banyak menggunakan proses kimia.

“Beberapa sampel telah diambil oleh Jabatan Mineral dan Geosains Negeri Sembilan dan Melaka untuk dibuat analisis makmal,” kata Aminuddin.

Menurut beliau lagi, tindakan rampasan ke atas guni-guni yang mengandungi bahan yang disyaki berkaitan dengan aktiviti perlombongan nadir bumi serta jentera-jentera yang digunakan telah dibuat.

“Kawasan yang terlibat juga telah disita untuk menghalang kerja-kerja perlombongan serta mengelakkan pencerobohan.

“Kerajaan Negeri mengesyaki bahawa kegiatan perlombongan haram ini dibuat secara skala besar dan satu tindakan penguatkuasaan bersepadu akan diambil.

“Orang ramai turut diminta menyalurkan maklumat dan aduan kepada Pejabat Daerah dan Tanah serta Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Sembilan sekiranya terdapat sebarang aktiviti yang mencurigakan berkaitan perlombongan haram bagi mengurangkan ketirisan hasil negeri,” ujarnya.

Show More

Related Articles

Back to top button