Berita

Aminuddin cadang pelajar Tingkatan 5 dan 6 diberi keutamaan hadir sesi persekolahan

Beliau mahu suntikan vaksin diberikan kepada pelajar Tingkatan 5 dan 6 terlebih dahulu

SEREMBAN: Pembukaan sesi persekolahan secara bersemuka pada 1 September ini perlu ada SOP lebih jelas susulan peningkatan kes Covid-19 termasuk kemunculan varian Delta dan Lambda.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, beliau menyambut baik pembukaan sekolah secara bersemuka.

“Walaubagaimanapun Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) perlu memperhalusi beberapa perkara bagi mengelakkan penularan jangkitan lebih teruk di kalangan pelajar sekolah.

“Mungkin pelajar Tingkatan 5 dan Tingkatan 6 atau pelajar yang akan menduduki peperiksaan sahaja dibenarkan hadir ke sekolah.

“Justeru, saya mencadangkan keutamaan suntikan vaksin diberikan kepada pelajar Tingkatan 5 dan Tingkatan 6, sebelum mereka boleh menghadiri sesi persekolahan secara bersemuka,” kata Aminuddin.

Menurut Aminuddin, terdapat sekitar 30 ribu pelajar Tingkatan 5 dan Tingkatan 6 di Negeri Sembilan.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat Negeri Sembilan bagi tahun 2021 di sini, pada hari Khamis.

Pada 17 Julai lepas, KPM mengumumkan sekolah akan dibuka secara berperingkat untuk pengajaran dan pembelajaran (PdP) bersemuka mulai 1 September ini, manakala pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) diteruskan sehingga 31 Ogos.

Keputusan itu diambil selepas mengambil kira situasi semasa pandemik Covid-19 serta hasil perbincangan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Show More

Related Articles

Back to top button