Berita

Aminuddin: Kadar penginapan hotel di Port Dickson capai 95%

Usahawan makanan dan cenderamata turut dapat manfaat kempen 'Jom Teghojah Nismilan'

SEREMBAN: Kadar purata penginapan bagi segmen penginapan dan perhotelan di Port Dickson sehingga Ogos 2020 telah mencapai 95 peratus, kata Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun.

“Sebagai contoh, tempahan penginapan telah penuh sehingga Disember 2020 di beberapa hotel seperti Hotel Lexis Hibiscus, Hotel Grand Lexis, Thistle Hotel, Corus Paradise Hotel dan D’Wharf Hotel.

“Seluruh pantai awam di Port Dickson juga telah dibuka kepada pengunjung awam mulai 13 Jun 2020.

“Aktiviti pantai telah dibenarkan termasuk perkelahan, mandi laut, berbasikal, berjogging selain kebenaran menggunakan kemudahan surau dan tandas awam tertakluk kepada SOP yang ditetapkan kerajaan.

“Aktiviti memancing di pantai dan bot memancing juga telah menarik ramai pengunjung datang ke Port Dickson,” katanya dalam Persidangan Kedua (Khas – Belanjawan Tambahan) Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan Yang Ke-14, kelmarin.

Keberkesanan kempen ‘Jom Teghojah Nismilan’

Aminuddin berkata, pengusaha hotel bajet di sekitar Port Dickson serta usahawan tempatan terutamanya di dalam segmen makanan dan cenderamata turut menerima manfaat hasil daripada keberkesanan kempen ‘Jom Teghojah Nismilan’.

“Perkara ini bukan sahaja berlaku di Port Dickson, malah di seluruh tumpuan pelancongan di Negeri Sembilan seperti Gunung Angsi, Kawasan Rekreasi Ulu Bendul, Taman Rekreasi Gunung Tampin, Jeram Toi, Taman Negeri Kenaboi dan Gunung Datuk,” ulas Aminuddin yang juga ADUN Sikamat.

Foto: Nabil Syafiq

 

 

 

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button