Berita

AMINUDDIN: Kapasiti 20,000 vaksin sehari dicapai di Negeri Sembilan

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, kapasiti harian Pusat Pemberian Vaksin (PPV) seluruh Negeri Sembilan telah mula mencapai jumlah melebihi 20,000 vaksin sehari sejak Julai 2021.

Menurut Aminuddin, sehingga 14 Julai 2021 seramai 359,662 orang (44.16 peratus) telah menerima dos pertama. Manakala seramai 148,823 orang (18.27 peratus) rakyat Negeri Sembilan telah selesai divaksin.

“Program vaksinasi adalah merupakan kunci kepada jalan keluar daripada pandemik Covid-19.

“Sejak awal lagi Kerajaan Negeri telah berusaha menambah kuota dan jumlah PPV di seluruh Negeri Sembilan bagi memastikan Imuniti Kelompok di kalangan rakyat dapat dicapai.

“Menurut data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), individu yang telah divaksin juga kurang berisiko mendapat jangkitan Covid-19,” jelas Aminuddin.

Aminuddin berkata, daripada 245,932 petugas KKM yang telah divaksin, hanya seramai 3,106 petugas atau 1.26 peratus dijangkiti. Daripada jumlah tersebut, hanya enam kes atau 0.2 peratus daripada petugas yang dijangkiti dikategorikan sebagai kategori 3 dan ke atas.

“Data ini menunjukkan bahawa pemberian vaksin yang berkesan mampu mengurangkan tekanan terhadap sistem kesihatan terutamanya dalam aspek katil ICU.

Bagi meningkatkan lagi keupayaan program vaksinasi, Kerajaan negeri bersedia untuk melaksanakan beberapa strategi berikut:

i. Program vaksinasi di seluruh negeri (keutamaan bagi daerah Seremban) dengan memanfaatkan kemudahan dewan orang ramai, balai raya dan dewan sekolah.

ii. Menjalin kerjasama dengan klinik swasta, klinik desa dan organisasi masyarakat yang ada di setiap lokaliti bagi membantu mendaftar penerima vaksin dan mengurus PPV dengan kerjasama dan pemantauan pihak KKM.

iii. Menambah kaedah pemberian vaksin melalui pandu lalu dan PPV bergerak bagi mempercepatkan usaha mencapai imuniti kelompok dalam usaha mengekang pandemik Covid-19.

iii. Menjalankan saringan berterusan bagi mengenalpasti kes positif bagi tujuan pengasingan dan mengelak dari kes sporadik.

iv. Menyediakan bantuan sewajarnya kepada rakyat yang terkesan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan dan program vaksinasi ini berjalan.

“Kerajaan Negeri menjangkakan Negeri Sembilan mampu mencapai Imuniti Kelompok dalam tempoh 45 hari bermula dari perlaksanaan program ini sekiranya mendapat bekalan vaksin yang mencukupi,” ujar Aminuddin lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button