Berita

Aminuddin: Kita mahu perkasakan penjaja, bukan merosakkan mereka

MBS kenalpasti 890 petak niaga di 41 lokasi

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun memberitahu Dewan Undangan Negeri hari ini, bahawa usaha Majlis Bandaraya Seremban melaksana program penyusunan dan melesenkan penjaja adalah untuk memperkasakan penjaja dan bukan untuk merosakkan perniagaan mereka.

“Banyak aduan diterima dari penduduk setempat berkenaan sampah sarap yang ditinggalkan oleh penjaja dan gangguan lalu lintas.

“Justeru, di bawah program penyusunan, penjaja ditempatkan semula di Pusat Penjaja Setempat agar mereka boleh berniaga dalam keadaan yang selesa, selamat dan pengurusan sampah yang sistematik dapat diuruskan.

“MBS telah mengenalpasti sebanyak 41 lokasi dengan 890 jumlah petak yang sesuai untuk dijadikan tapak Pusat Penjaja Setempat,” katanya dalam Persidangan Kedua (Khas – Belanjawan Tambahan) Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan Yang Ke-14.

Aminuddin berkata, apabila penjaja dilesenkan, mereka berpeluang untuk mengembangkan perniagaan mereka

“Penjaja mempunyai peluang untuk buat pinjaman (bank), beli rumah atau aset.

“Kita mahu memperkasakan penjaja, bukan mahu merosakkan mereka

“Kita juga berjuang untuk mereka (penjaja). Kita nak pastikan penjaja dibela.

“Insyah Allah tahun depan, lebih banyak pusat penjaja akan didirikan.

“Kita akan gunakan duit Kerajaan Negeri untuk membangunkan pusat penjaja,” jelas Aminuddin lagi.

Aminuddin juga berkata, Kerajaan Negeri telah memberikan insentif RM300 secara one-off kepada penjaja yang setuju pindah ke Pusat Penjaja Setempat.

“Sehingga kini, MBS telah menyiapkan 503 jumlah petak niaga di 20 lokasi. Manakala 21 lokasi lagi dalam proses penyediaan tapak.

“Seramai 264 penjaja telah ditawarkan tapak berniaga dan 293 penjaja pula dalam proses penempatan antaranya di Tapak Penjaja Dataran Senawang, Tapak Penjaja Taman Sri Pandan, Sikamat (berhadapan Zemart) dan di Dataran Centrio, Seremban 2,” ujar Aminuddin.

Foto: Nabil Syafiq

Show More

Related Articles

Back to top button