Berita

Aminuddin lancar portal Negeri Kita

Wadah informasi kepada rakyat

SEREMBAN: Portal Negeri Kita dilancarkan secara rasmi oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun di Wisma Negeri tengahari tadi.

Aminuddin dalam ucapan perasmian mengingatkan, walaupun capaian maklumat pada hari ini mudah diperolehi, namun sekiranya maklumat sahih dan tepat gagal disampaikan dengan berkesan, pelbagai persepsi buruk akan timbul terhadap pentadbiran Kerajaan Negeri.

“Kewujudan platform perkongsian maklumat Kerajaan Negeri ini diharap dapat disebarluaskan secara maksimum kepada masyarakat umum.

“Agensi-agensi Kerajaan juga perlu serius memainkan peranan menyebarkan inisiatif yang telah diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri selaras dengan Motto Kerajaan Negeri Sembilan ‘Bersih, Muafakat dan Sejahtera.

“Menerusi kemajuan teknologi, proses penyampaian maklumat kini menjadi lebih mudah, cepat dan menjimatkan masa.

“Transformasi budaya kerja ini sekali gus memastikan mesej penting kepada rakyat dapat disalurkan dengan lebih meluas dan berkesan,” katanya.

Maklumat Insentif Kerajaan Negeri dan Direktori Kepimpinan Pakatan Harapan

Aminuddin berkata, seiring dengan pelbagai insentif yang telah ditawarkan oleh Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan dalam tempoh 28 bulan ini, portal Negeri Kita diwujudkan agar dapat menjadi wadah informasi kepada rakyat.

Paling menarik dalam Negeri Kita ialah paparan maklumat mengenai insentif-insentif yang diperkenalkan oleh Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan.

Garis panduan, syarat permohonan dan pihak yang perlu dihubungi untuk pertanyaan boleh didapati dalam menu ‘Insentif Kerajaan Negeri’.

“Secara umumnya, Negeri Kita juga memberi liputan berita, aktiviti dan program wakil rakyat Pakatan Harapan termasuk Senator, Ahli Parlimen, Exco Kerajaan Negeri, ADUN dan Penyelaras DUN.

“Dalam portal ini juga disediakan informasi bersifat Direktori Kepimpinan Pakatan Harapan Negeri Sembilan termasuk nama, alamat pejabat dan nombor telefon untuk dihubungi.

“Ini adalah untuk memudahkan rakyat menghubungi pejabat wakil rakyat atau penyelaras DUN sekiranya memerlukan apa-apa bantuan,” jelas Aminuddin lagi.

Foto: Nabil Syafiq

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button