Berita

Aminuddin lancar Tahun Melabur Negeri Sembilan 2021

Meningkatkan peluang pekerjaan kepada penduduk Negeri Sembilan

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun telah melancarkan Tahun Melabur Negeri Sembilan 2021 atau INVEST NS YEAR 2021 yang bertujuan untuk mempromosi serta menarik lebih ramai pelabur domestik dan luar negara datang melabur ke Negeri Sembilan.

Aminuddin berkata, Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan menawarkan pelbagai insentif untuk menarik lebih ramai pelabur mengembangkan perniagaan di Negeri Sembilan; yang akan meningkatkan pertumbuhan ekonomi negeri di samping menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk Negeri Sembilan.

Insentif kepada pelabur tempatan dan asing adalah seperti berikut:

Kadar Premium Tanah

  1. Tawaran diskaun premium pemberimilikan tanah dan pembangunan tanah sebanyak 25% kepada pemohon yang menjelaskan bayaran premium sekali gus dalam tempoh 21 hari dari tarikh menerima Notis 5A atau 7G daripada Pentadbir Tanah Daerah.
  2. Tawaran diskaun premium pemberimilikan tanah dan pembangunan tanah sebanyak 15% kepada pemohon yang menjelaskan bayaran premium sekali gus dalam tempoh 60 hari dari tarikh menerima Notis 5A atau 7G daripada Pentadbir Tanah Daerah.
  3. Pentadbir Tanah Daerah mengeluarkan Notis 5A/7G serta-merta selewat-lewatnya dalam tempoh tujuh (7) hari dari tarikh penerimaan penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).
  4. Penangguhan bayaran diberikan sehingga lima tahun dari tarikh kelulusan oleh Pejabat Tanah secara case by case.

Kadar Utiliti Air

  1. Tawaran rebat utiliti air berdasarkan kelulusan dari Syarikat Air Negeri  Sembilan (SAINS).

Caj Pemajuan

  1. Berbanding negeri lain, Kerajaan Negeri masih tidak mengenakan caj pemajuan.

Proses One Solution Centre (OSC)

  1. INVEST NS (Negeri Sembilan) bertindak sebagai mediator iaitu agensi yang bekerjasama dengan agensi kerajaan untuk memantau dan mempercepatkan proses OSC.

Kerajaan Negeri turut menawarkan insentif bagi perolehan hartanah oleh warganegara asing, syarikat asing, pegawai dagang (expatriate) dan penduduk tetap (permanent resident) di Negeri Sembilan seperti berikut:

Bangunan kediaman : Pegangan Pajakan dan Pegangan Bebas

  1. Strata – RM 600,000
  2. Landed Strata – RM 1.0 juta
  3. Landed – RM 1.0 juta

Perniagaan/Komersil

Pegangan Pajakan dan Pegangan Bebas bernilai RM 2.0 juta dengan syarat tanah hendaklah diusahakan dalam tempoh tiga tahun dari tarikh pemberimilikan.

Industri/Perusahaan

Pegangan Pajakan dan Pegangan Bebas bernilai RM 2.0 juta dengan syarat tanah hendaklah diusahakan dalam tempoh tiga tahun dari tarikh pemberimilikan.

 Pertanian

Konsep Joint Venture antara pemilik (warganegara tempatan) dengan syarikat/warganegara asing bagi melaksanakan High Impact Agriculture Project.

Negeri Sembilan Integrated Concept Masterplan 2021 – 2045

Aminuddin turut turut melancarkan ”Negeri Sembilan Integrated Concept Masterplan 2021 – 2045” yang telah disediakan oleh NS Corporation (NS Corp.).

“Dokumen ini merupakan rangka konsep pembangunan Negeri Sembilan yang inklusif dan mampan yang memfokuskan kepada pembangunan Malaysia Vision Valley 2.0, agropolis dan biodiversiti,” kata Aminuddin.

Sementara itu, satu majlis menandatangani memorandum kerjasama (MoC) pelaburan telah dimeterai antara NS Corp dengan tiga buah syarikat terkemuka iaitu Sime Darby Berhad, Sime Darby Property Berhad dan Uni Wall APS Holdings Berhad bagi membangunkan heartbeat projects MVV 2.0.

“MoC ini merupakan simbolik kepada inisiatif yang dihasratkan oleh Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan dalam meningkatkan hubungan kerjasama strategik untuk menggalakkan pelaburan serta menjadi manifestasi kerjasama awam-swasta dalam pembangunan di Negeri Sembilan,” ujar Aminuddin lagi.

Turut hadir Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan, YB Dato’ Dr.Mohamad Rafie Abdul Malek; barisan Exco Kerajaan Negeri; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Dr.Razali Ab Malik; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Mohd Khidir Majid; CEO NS Corp, Ab Rahim Ab Rahman dan CEO NSIC, Encik Najmuddin Sharif Sarimon.

CEO Kumpulan Sime Darby Berhad, Dato’ Jeffri Salim Davidson dan Encik Mustamir Mohamad; Pengarah Urusan Sime Darby Property, Dato’ Azmir Merican Azmi Merican dan CEO Sime Darby Property (Pengurusan Perbandaran), Encik Ir.Mohamad Sohimin Mohd Alayedin.

Pengarah Urusan Uni Wall APS Holdings Berhad, Encik Siow Hon Yuen dan Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Uni Wall APS Holdings Berhad, Encik Lee Kean Cheong.

 

Foto: Nabil Syafiq

 

 

Show More

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button