Berita

Aminuddin: Masjid harus santuni masyarakat dengan kebajikan dan pendidikan

Mahu masjid diperkasakan sebagai pusat pembangunan umat Islam

PORT DICKSON: Pentadbir masjid harus menyantuni masyarakat dengan program kebajikan dan pendidikan; kata Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Haji Aminuddin Harun.

“Pentadbir masjid perlu lebih kreatif dan proaktif dalam menganjurkan aktiviti masjid agar ahli kariah mencintai masjid.

“Saya mahu masjid diperkasakan sebagai pusat pembangunan umat di dalam masyarakat melalui sikap prihatin dan proaktif Ahli Jawatankuasa masjid,” kata Aminuddin dalam ucapannya di Kursus Ahsan anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) di Ancasa Residences Port Dickson.

Tiga buah masjid yang terlibat dalam Kursus Ahsan siri kali ini ialah Masjid Jamek Dato’ Klana Petra Sendeng Ampangan, Masjid Kariah Paroi Jaya dan Masjid Taqwa Paroi, yang turut melibatkan Ahli Jawatankuasa masjid, MPKK dan pimpinan masyarakat.

Kursus Ahsan adalah cetusan dan permintaan dari Aminuddin sendiri.

Menariknya kursus kali ini apabila Aminuddin tiba-tiba muncul di akhir program tanpa makluman terlebih dahulu kepada pihak urusetia.

Kesungguhannya ini bagi memastikan agenda memartabatkan masjid di Negeri Sembilan sebagai pusat pembangunan ummah.

Aminuddin turut merakamkan penghargaan kepada JHEAINS dan masjid yang telah melaksanakan segala usaha dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memastikan umat Islam dapat beribadah dengan SOP yang digariskan.

“Semoga masjid-masjid di Negeri Sembilan terus diimarahkan setelah ditutup seketika kerana PKP pandemik Covid-19.

Sesungguhnya masjid kita adalah tanggungjawab kita yang perlu diambil perhatian secara bersama,” ujarnya lagi.

Foto: Team Tok Min

Show More

Related Articles

Back to top button