Berita

Aminuddin: MPKK perlu menjadi mata dan telinga Kerajaan Negeri

MPKK perlu proaktif menyantuni dan berusaha menyelesaikan permasalahan setempat

SIKAMAT: Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) perlu menjadi mata dan telinga Kerajaan Negeri dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat; kata Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun.

Dalam ucapan perasmian Majlis Penyerahan Watikah Perlantikan MPKK dan penyerahan peralatan kebersihan serta Penyampaian Geran TUNS bagi DUN Sikamat di Balairaya Taman Desa Rhu; Aminuddin mengingatkan MPKK seharusnya bertindak sebagai agen penggerak dan pendorong kepada penyatuan dan perpaduan masyarakat.

“MPKK harus menyalurkan maklumat dan dasar Kerajaan Negeri kepada setiap penduduk.

“Pengurusan MPKK perlu bersifat proaktif sewaktu menjalankan tugas dan saya menyarankan MPKK agar sentiasa turun padang menziarahi dan menyantuni masyarakat di sekeliling, di samping mendengar segala permasalahan yang timbul.

“Sentiasa melawat kawasan persekitaran dalam mengenal pasti kemudahan awam yang perlu diperbaiki dan dipertingkatkan.

“Saya berharap penyerahan peralatan kebersihan ini juga boleh digunakan sebaik mungkin dalam meningkatkan kebersihan dan keindahan kawasan persekitaran,” kata Aminuddin.

Aminuddin yang juga merupakan ADUN Sikamat, mengingatkan penerima Tabung Pembangunan Usahawan Negeri Sembilan (TUNS), agar geran yang diterima digunakan dengan sebaik-baiknya dalam memajukan lagi perniagaan mereka.

Seramai 17 usahawan kecil di DUN Sikamat telah menerima geran TUNS bagi fasa pertama ini.

 

Show More

Related Articles

Back to top button