Berita

Aminuddin nasihat penerima vaksin maklum awal ketidakhadiran untuk suntikan

SEREMBAN: Penerima suntikan vaksin Covid-19 dinasihatkan memaklumkan kepada Klinik Kesihatan, sekiranya tidak dapat hadir untuk slot suntikan vaksin tersebut, kata Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun.

Aminuddin berkata, beliau dimaklum, terdapat segelintir individu yang tersenarai sebagai penerima tidak hadir menerima vaksin atas pelbagai alasan.

“Alasan yang kerap diberikan adalah menarik diri sebagai penerima vaksin, dan tidak maklum tarikh suntikan.

“Saya berharap agar para penerima memaklumkan kepada pihak Klinik Kesihatan lebih awal, sekiranya tidak berkesempatan hadir agar slot tersebut boleh diberikan kepada individu lain dan seterusnya mengelakkan pembaziran masa dan tenaga.

“Marilah kita bersama-sama menjadi anggota masyarakat yang bertanggungjawab dan membantu memastikan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berjalan lancar,” katanya.

Aminuddin berkata demikian selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Majlis Bandaraya Seremban, yang sudah mula melaksanakan Fasa 2 Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

“Saya difahamkan operasi PPV berjalan dengan lancar mengikut SOP yang ditetapkan. Tahniah diucapkan kepada pihak Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan serta frontliners yang terlibat,” ujar beliau.

 

Foto: Nabil Syafiq

Show More

Related Articles

Back to top button