Berita

Aminuddin: Perpaduan boleh cipta lebih banyak kejayaan

Pelbagai aktiviti telah diatur sempena sambutan Bulan Kemerdekaan

SEREMBAN: Nilai perpaduan, kebebasan, kedamaian dan kesejahteraan rakyat Malaysia secara umum dan rakyat Negeri Sembilan khasnya boleh mencipta lebih banyak kejayaan dan mengecapi masa depan yang lebih cemerlang dan gemilang buat generasi hari ini dan masa hadapan,” kata Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Haji Aminuddin Harun.

Dalam ucapan perasmian Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2020 Peringkat Negeri Sembilan di Dewan Majlis Bandaraya Seremban pagi ini; Aminuddin menyeru agar pemimpin dan rakyat Negeri Sembilan saling berganding bahu memastikan semangat patrotisme terus dipelihara agar negara kekal harmoni dan aman makmur.

“Janganlah kita mengambil mudah perihal menjaga martabat identiti dan imej negara. Bukan itu sahaja, sama-samalah kita memelihara perpaduan.

“Didiklah anak-anak kita akan kepentingannya supaya semangat patriotisme kita kekal diwarisi daripada generasi yang terdahulu diteruskan oleh generasi yang akan datang.

“Melalui semangat patriotisme ini lah membolehkan kerajaan merancang dan melaksanakan pembangunan dengan teratur.

“Di samping itu, ini akan meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat melalui kestabilan politik, merancakkan ekonomi dan mengukuhkan hubungan sosial,” kata Aminuddin.

Aminuddin berkata, Negeri Sembilan akan kekal membangun dan mampan bersama kelestarian produk dan pelan tindakan yang telah dirangka untuk rakyat secara holistik.

“Saya juga ingin memaklumkan sempena sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini di Negeri Sembilan, beberapa pengisian program telah dirancang sepanjang bulan kebangsaan yang akan diterajui oleh Jabatan Penerangan Negeri Sembilan melalui tiga pendekatan iaitu Merdeka Moment, Merdeka Community Bonding dan Info On Wheels Merdeka.

“Saya percaya aktiviti seperti Info On Wheels Merdeka (IOW Merdeka), Merdeka@Komuniti, Pertandingan Pidato Kenegaraan, Sayembara Puisi Merdeka, Pertandingan Pengisahan Kenegaraan, Pertandingan Fotografi KLIK@Merdeka dan pelbagai lagi akan mendandan semangat patriotisme dan menyanggul rasa cintakan negara selain memberi peluang penyertaan kepada setiap lapisan masyarakat.

“Oleh itu, sempena Bulan Kebangsaan ini, marilah kita sama-sama pertingkatkan semangat cintakan Negara kita dengan terus mengibarkan Jalur Gemilang di tempat kerja dan premis masing-masing,” ujar beliau.

 

Foto: Nabil Syafiq

Show More

Related Articles

Back to top button