Berita

Aminuddin rasmi Munaqasyah Fiqh Falak Kebangsaan 2020

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun merasmikan Munaqasyah Fiqh Falak Peringkat Kebangsaan 2020 di Klana Resort, Seremban malam kelmarin.

Munaqasyah Fiqh Falak kali ini mengambil tema Melestarikan Fiqh Falak di Malaysia kerana mengambil kira sempena sumbangan besar tokoh Islam terhadap tamadun keilmuan.

“Astronomi Islam atau falak syar`ie adalah sebuah disiplin ilmu yang amat unik.

“Ilmu ini adalah manifestasi dari kegigihan ulama silam dalam mencari jawapan secara komprehensif dan terperinci terhadap persoalan dan cabaran yang ditemui dalam nas-nas al-Quran dan Sunnah Nabi SAW.

“Satu daripada cabang ilmu falak ialah penyusunan takwim. Takwim merupakan aspek penting dalam kehidupan kita.

“Pembentukan sesuatu takwim mestilah berasaskan kepada pemahaman yang jelas berkaitan pergerakan dan peredaran bumi, bulan dan matahari. Paling penting, takwim Islam terbentuk berasakan wahyu Allah,” kata Aminuddin.

Aminuddin berkata, beliau menaruh harapan agar Munaqasyah Fiqh Falak kali ini berlangsung dengan lancar dan jayanya.

“Semoga Munaqasyah ini berjaya menarik minat masyarakat awam, seterusnya dapat menyelesaikan pelbagai masalah yang berkaitan dengan ilmu falak dan astronomi.

“Saya turut berharap agar aktiviti falak terus subur di Negeri Sembilan. Mudah-mudahan usaha kita ini sama-sama diberkati oleh Allah SWT,” ujarnya lagi.

Aminuddin turut mengucapkan tahniah kepada Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kerana berjaya menganjurkan program seumpama ini dalam masa yang sama menjaga SOP (Prosedur Operasi Standard) dalam mendepani penularan COVID-19.

Foto: Nabil Syafiq

Show More

Related Articles

Back to top button