Berita

Aminuddin: RM10 juta bina kompleks KAYNS baru

Dijangka siap 22 Februari 2020

KUALA PILAH: Sebuah kompleks akademik, Kumpulan Akademi Yayasan Negeri Sembilan (KAYNS) yang baru akan dibina di Institut Teknologi Yayasan Negeri Sembilan (ITYNS) di Gentam, Kuala Pilah.

Aminuddin berkata, Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan memperuntukkan RM10 juta bagi pembinaan bangunan baru di kampus tersebut yang dijangka siap pada 22 Februari 2022.

“Kampus ini berada dalam keadaan yang amat daif dan serba kekurangan termasuk kemudahan kelas, makmal, bengkel, bangunan pentadbiran, kantin, surau dan dewan.

“Anak-anak terpaksa belajar dalam keadaan yang serba kekurangan dan terpinggir. Namun mereka hanya mampu bersabar, redha dan berdoa dalam tangisan, agar satu hari nanti, akan ada pihak yang sudi membantu membaik pulih keadaan yang ada.

“Keadaan ini jelas menggambarkan pengabaian yang ketara oleh pentadbiran kerajaan yang terdahulu kerana tidak menjadikannya sebagai satu keutamaan walaupun telah diambil alih daripada Institut Pertanian Kuala Pilah pada tahun 1998, dan sehingga ke hari ini, bangunan ini telah pun berusia lebih dari 35 tahun,” kata Aminuddin.

Aminuddin berkata demikian dalam ucapan perasmian Majlis Pecah Tanah Projek Naik Taraf Kampus KAYNS di ITYNS Gentam petang kelmarin.

90 peratus graduan KAYNS berjaya dalam kerjaya

Menurut Aminuddin, kemudahan-kemudahan pembelajaran sedang mula dipertingkatkan, termasuk pembinaan premis baru, kondisi bilik kuliah, bengkel dan makmal yang lebih baik dan asrama yang lebih kemas, bersih dan selesa.

“Setakat ini, difahamkan sekitar lebih 90 peratus graduan Institusi ini telah pun berjaya dalam kerjaya masing-masing sama ada sebagai pekerja di pelbagai industri, menyambung pelajaran atau menjadi usahawan.

“Pencapaian ini amatlah membanggakan dan pelajar yang memiliki kemahiran TVET sememangnya diperlukan oleh industri pada masa kini.

“Saya percaya bahawa pembangunan menaik taraf kampus ini dapat menjadi nadi kepada pembangunan ekonomi dan sosio ekonomi rakyat di Negeri Sembilan, khasnya penduduk di daerah Kuala Pilah ini.

“Impak secara langsung yang bakal dirasai dengan pembinaan kampus baru ini adalah kelangsungan pendidikan kemahiran akan dipandang lebih tinggi setanding graduan lepasan universiti,” ujar Aminuddin lagi.

Turut hadir Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri, YB Dato’ Zulkefly Mohamad Omar; Exco Kerajaan Negeri; Pengerusi KAYNS, Dato’ Mohd Khidir Majid dan Pengarah KAYNS, Encik Bahrom Bakar.

Foto: Nabil Syafiq

Show More

Related Articles

Back to top button