Berita

Bandar Hamilton bakal wujudkan peluang pekerjaan bagi 740,000 penduduk

Lokasi strategik di Nilai, dekat dengan KLIA

NILAI: Pembangunan taman perindustrian terurus (managed industrial park) di Bandar Hamilton di sini, akan mewujudkan peluang pekerjaan bagi 740,000 penduduk yang menetap di kawasan sekitarnya.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, melalui Malaysia Vision Valley (MVV 2.0), Kerajaan Negeri telah merangka pelan untuk merangsang ekonomi di Negeri Sembilan dengan menyasarkan pemain industri utama yang mampu memberi impak menyeluruh.

“Saya yakin projek yang dilaksanakan oleh Sime Darby Property akan menjadi pemangkin kepada pembangunan MVV 2.0.

“Bandar Hamilton kini bersedia untuk melangkah ke fasa seterusnya untuk menjadikan Negeri Sembilan sebuah bandar yang mampan menjelang tahun 2045,” katanya.

Aminuddin berkata demikian di Majlis Pecah Tanah Pembangunan Bandar Hamilton pada Selasa.

Turut hadir Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan, YB Dato’ Dr.Mohamad Rafie Ab Malek; Exco Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam yang juga ADUN Nilai, YB J.Arul Kumar.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Dr.Razali Ab Malik dan Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property Berhad, Dato’ Azmir Merican Azmi Merican.

Empat fasa pembangunan Bandar Hamilton

Menurut Aminuddin, Bandar Hamilton akan dibangunkan oleh Sime Darby Property menerusi empat fasa, dengan Fasa 1, 2 dan 4 difokuskan untuk aktiviti perindustrian sederhana dan berat, manakala Fasa 3 pula akan dibangunkan khusus untuk perindustrian ringan yang akan dilengkapkan dengan kilang berkembar dan separa berkembar siap dibina.

“Siri pembangunan industri bercampur ini bersesuaian dengan keperluan berbeza mengikut jenis perniagaan, serta mampu untuk membangunkan komuniti berasaskan industri.

“Pembangunan ini juga dijangka dapat mewujudkan peluang pekerjaan baharu bagi 740,000 penduduk yang menetap di kawasan sekitarnya,” kata beliau.

 

Keluasan Bandar Hamilton 2,723 ekar

Aminuddin berkata, lokasi strategik di Nilai meletakkan Bandar Hamilton dengan keluasan 2,723 ekar sebagai tarikan bagi perniagaan yang menginginkan pilihan perusahaan atau pergudangan yang cekap di luar Lembah Klang.

“Saya amat yakin, pembangunan Bandar Hamilton akan turut memberi kesan kepada sektor industri pelancongan dan industri kecil dan sederhana di samping mewujudkan peluang pekerjaan, perniagaan dan industri bagi kepentingan seluruh rakyat di Negeri Sembilan secara khususnya dan negara Malaysia secara amnya.

“Bandar Hamilton kini bersedia untuk melangkah ke fasa seterusnya dalam menjadikan Negeri Sembilan sebuah negeri moden menjelang tahun 2045.

“Saya berharap agar semua pihak yang terlibat akan terus menggembleng tenaga dalam usaha untuk merealisasikan perancangan pembangunan ini.

“Saya juga berharap syarikat swasta dan komuniti setempat akan mengambil peluang ini untuk bekerjasama merealisasikan perancangan MVV 2.0,” ujar Aminuddin lagi.

 

Show More

Related Articles

Back to top button