Berita

Aminuddin: Selamat Hari Raya Aidiladha

Mewakili Kerajaan Negeri Sembilan saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan.

Sambutan Hari Raya Haji tahun ini tidak sama dengan tahun-tahun sebelum. Tahun ini tidak ada saudara mara atau orang kampung kita yang pergi haji, bahkan hanya lapan orang rakyat Malaysia sahaja yang dipilih untuk menunaikan haji tahun ini.

Di samping itu, kita masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), namun kita di Negeri Sembilan telah membuat beberapa ketetapan mengenai sambutan Hari Raya Haji atau Aidiladha tahun ini.

Kita telah membenarkan aktiviti korban dijalankan dengan mengikuti SOP yang telah disediakan. Dalam sambutan Aidilfitri baru-baru ini kita semua mengerjakan Solat Sunat Aidilfitri di rumah masing-masing, tetapi kali ini kita dibenarkan menunaikan Solat Sunat Aidiladha di masjid dan surau dengan mengikuti dan mematuhi peraturan dan SOP yang ditetapkan.

Kita berharap dan berdoa semoga ibadah korban yang saudara sempurnakan, diterima dan diredhai oleh Allah, sebagaimana Allah menerima korban yang disempurnakan oleh anak Nabi Adam a.s iaitu Habil dan korban dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s. di mana korban mereka, telah yang meningkatkan iman dan taqwa.

Kerana itu ikhlaskan diri dan sempurnakan ibadah korban tahun ini dengan korban yang terbaik.

Semakin ramai rakyat negeri ini yang beriman dan bertaqwa semakin berkah masyarakat dan negeri ini. Sebagaimana firman-Nya ayat 96 dalam surah Al-A’raf yang bermaksud: “Dan jika penduduk negeri beriman dan bertaqwa, pasti Kami akan melimpahkan kepada mereka keberkatan daripada langit dan bumi”.

Di antara tanda-tanda masyarakat yang beriman dan bertaqwa ialah menghargai dan menyayangi kurnia Allah. Allah telah mengurniakan kita negeri dan masyarakat majmuk yang berbilang bangsa dan agama. Hargai dan sayangilah negeri ini dengan kepelbagaiannya dalam bingkai kesatuan.

Ayuh, kita sama-sama berganding bahu membangunkan dan memajukan negeri ini. Jago Nogori Kito.

YAB Dato’ Seri Haji Aminuddin Harun

Menteri Besar Negeri Sembilan

Show More

Related Articles

Back to top button